Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Promosi industri sukan di ASEAN

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, baru-baru ini, telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Sukan ke-7 (AMMS-7) di Chiang Mai, Thailand.

    Mesyuarat yang berlangsung pada 31 Ogos hingga 2 September itu dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab ke atas sukan dan wakil peringkat tinggi serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosiobudaya (ASCC). Di samping itu, Timor-Leste turut hadir sebagai pemerhati.

    AMMS-7 yang dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Tuan Yang Terutama Phiphat Ratchakitprakarn itu menjadi platform bagi ASEAN dan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam bidang sukan untuk bertukar-tukar pandangan, membincangkan dasar dan mengukuhkan kerjasama dalam merealisasikan Komuniti ASEAN yang aktif.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), semasa mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Dato mengambil maklum usaha antara ASEAN dan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) untuk menggunakan sukan dan permainan tradisional dalam mempromosikan industri sukan di ASEAN.

    Kerjasama yang menggabungkan pertukaran budaya ini mempunyai nilai tambah ke arah memelihara, mempromosi dan menghidupkan semula sukan dan permainan tradisional, yang memainkan peranan penting ke arah memupuk hubungan, mempromosikan identiti budaya, dan memupuk semangat kemasyarakatan, perpaduan dan keterangkuman di negara kita dan di rantau ini.

    Mesyuarat diteruskan dengan AMMS-4+Jepun untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara ASEAN dan Jepun dalam bidang sukan.

    Ia dipengerusikan bersama oleh TYT Phiphat Ratchakitprakarn dan Menteri Negeri, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT), Jepun, Tuan Yang Terutama Ide Yosei.

    Sementara itu, AMMS-1+China dipengerusikan bersama oleh TYT Phiphat Ratchakitprakarn dan Naib Menteri Pentadbiran Am Sukan China, Tuan Yang Terutama Wang Ruilian.

    Turut hadir semasa mesyuarat-mesyuarat berkenaan ialah Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, KKBS, Hajah Zainab binti Haji Morshidi dan pegawai-pegawai dari KKBS.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai bersama menteri-menteri sukan ASEAN dan perwakilan lain semasa mesyuarat berkenaan. – Gambar serahan KKBS
    Gambar serahan KKBS

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda