Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-55 (AEM 55) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Semarang, Indonesia pada 19 hingga 22 Ogos lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), hari ini, siri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Indonesia itu termasuk Mesyuarat AEM-Majlis Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-37, Mesyuarat AEM-Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) ke-26, Konsultasi AEM-Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Mesyuarat AEM ke-55 dan Mesyuarat AEM-Ketua Pengarah Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) dan Mesyuarat Menteri-menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-2.
Selain itu, beberapa konsultasi AEM juga diadakan bersama rakan-rakan dialog ASEAN seperti Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat (AS).
Salah satu sorotan utama semasa mesyuarat-mesyuarat AEM tersebut ialah bermulanya pemeteraian Protokol Kedua untuk Meminda Perjanjian Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) pada majlis penandatanganan perjanjian yang diadakan di luar mesyuarat.
Majlis tersebut telah disertai oleh Negara Brunei Darussalam – selaku negara penyelaras ASEAN untuk AANZFTA, Indonesia – selaku Pengerusi ASEAN bagi 2023, Australia dan New Zealand.

AANZFTA yang dinaik taraf menyediakan elemen nilai tambah dan pengenalan bab baharu iaitu pemerolehan kerajaan, perdagangan dan pembangunan mampan, dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Peningkatan itu juga mengambil kira amalan perdagangan moden dan peruntukan baharu yang boleh meningkatkan daya tahan rantaian bekalan serta menangani cabaran berkaitan perdagangan.
Protokol Kedua, yang menaik taraf Perjanjian AANZFTA asal yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2010, dijangka ditandatangani oleh semua pihak sebelum hujung tahun ini.
Semasa Mesyuarat AEM-AFTA ke-37, menteri-menteri ekonomi ASEAN mencatatkan kemajuan positif Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dengan menaik taraf perundingan-perundingan dan menggalakkan pegawai untuk mempercepatkan perbincangan dan pandangan bagi memuktamadkan peningkatannya pada tahun 2024.
Pelancaran ASEAN Tariff Finder baharu juga dialu-alukan untuk memudahkan perniagaan mendapatkan maklumat perdagangan terkini seperti perdagangan rejim dan kadar tarif bagi produk tertentu. Tariff Finder boleh diakses melalui laman web https://tariff-finder.asean.org.
Menteri-menteri memuji kesimpulan penting Protokol Kelima untuk Meminda Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN (ACIA) semasa Mesyuarat AEM-AIA ke-26 yang mana protokol itu memberikan kepastian yang lebih besar dan ketelusan kepada pelabur mengenai rejim pelaburan di ASEAN dan membincangkan aliran dan perkembangan terkini pelaburan langsung asing (FDI) seperti yang digariskan pada Special ASEAN Investment Report 2023: International Investment Trends – Key Issues and Policy Options.
Mesyuarat AEM ke-55 mengesahkan keazaman ASEAN untuk mempromosikan integrasi ekonomi serantau walaupun menghadapi cabaran ekonomi yang berterusan yang telah menjejaskan rantaian bekalan serantau di bawah tema ASEAN Matters: Epicentrum of Growth.
Sidang menteri membincangkan kemajuan pelaksanaan Mid-Term Review of the ASEAN Economic Community (AEC) Blueprint 2025, dan kemajuan pembangunan ASEAN Community’s Post-2025 dalam usaha ASEAN untuk mendalami lagi integrasi ekonomi serantau.
Cadangan dalam laporan akhir kajian mengenai ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) dan Framework for Negotiating DEFA juga disahkan semasa mesyuarat.
Dokumen itu akan membimbing negara-negara anggota ASEAN dalam perundingan-perundingan DEFA akan datang yang akan bermula pada 2023.
Di samping itu, para menteri membincangkan pelaksanaan dan status perundingan beberapa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN dengan rakan perdagangan utamanya, seperti China, Jepun, Korea, Hong Kong, dan Australia dan New Zealand untuk memastikan bahawa FTA ASEAN kekal relevan dan bermanfaat kepada perniagaan di rantau ini.
Menteri-menteri juga mengalu-alukan pelaksanaan penuh Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan berkuat kuasanya perjanjian untuk Indonesia dan Filipina masing-masing pada 2 Januari dan 2 Jun 2023.
Penandatanganan Memorandum Persefahaman ASEAN – WIPO diadakan untuk meluaskan kerjasama antara ASEAN dan WIPO bagi membantu perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana ASEAN dan syarikat baharu, yang mana antara lain, dalam memanfaatkan teknologi digital untuk kejayaan perniagaan melalui penggunaan harta intelek secara berkesan dan menyokong industri kreatif ASEAN.

