Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) baru-baru ini telah mengambil bahagian sebagai rakan strategik di Persidangan Kaunseling Kebangsaan, yang menekankan komitmen berterusannya menyokong usaha kebangsaan untuk mempromosikan kesejahteraan dan kesihatan mental.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, Pemangku Penolong Pengarah Urusan (Operasi) dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah telah menyampaikan ceramah bertajuk Championing Employee Wellness: Building a Culture of Care and Psychological Safety in the Workplace.
Dalam pembentangannya, Haji Mohammad Yusri mengetengahkan pentingnya kesejahteraan tempat kerja sebagai sebahagian daripada tumpuan negara kepada kesejahtera-an dan kesihatan mental, satu dasar keutamaan yang ditekankan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam serta ditegaskan semula melalui titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Tahun Baharu Hijrah 1446.
Beliau mengongsi falsafah kesejahteraan BIBD adalah berakar umbi Maqasid Syariah, yang menyeru pemeliharaan nyawa, intelek dan komuniti.
“Di BIBD, kesejahteraan bukan sekadar program, ia adalah sebahagian daripada diri kami,” katanya.


“Kami percaya menjaga orang ramai bukan sahaja perkara yang betul untuk dilakukan, tetapi juga perkara yang mampan untuk dilakukan.”
Pembentangan itu menggariskan pendekatan komprehensif BIBD terhadap kesejahteraan, yang berlandaskan dua tonggak saling melengkapi, secara luaran melalui Rangka Kerja Kelestarian BIBD yang memacu inisiatif merentasi Perlindungan Alam Sekitar, Keusahawanan Bertanggungjawab dan Impak Sosial Inklusif dan secara dalaman melalui Program SEHATI, yang mempelopori kesejahteraan pekerja dan budaya tempat kerja yang sihat menerusi inisiatif yang bertumpu pada gaya hidup, kesedaran kesihatan, daya tahan mental serta aktiviti kesejahteraan.
Haji Mohammad Yusri juga mengongsi mengenai Duta Kesejahteraan dan Pertolongan Cemas BIBD, satu inisiatif perintis yang dilancarkan pada 2022 dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua.
Sejak diperkenalkan, 80 orang kakitangan telah dilatih dalam pertolongan cemas fizikal dan psikologi, dengan sebahagiannya memperluas kepakaran mereka ke acara kebangsaan dan kerjasama antara agensi, mencerminkan bagaimana kesejahteraan di BIBD melangkaui tempat kerja dan dalam komuniti yang lebih luas.
Inisiatif berkenaan diiktiraf di peringkat serantau apabila BIBD menerima Anugerah Perbankan Inisiatif Kesihatan dan Kesejahteraan Brunei Terbaik Tahun Ini, pada Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Asia 2025, sekali gus mengesahkan semula penyelarasan bank dengan SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik) dan SDG 8 (Kerja yang Layak dan Pertumbuhan Ekonomi).
Peranan BIBD sebagai rakan strategik untuk Persidangan Kaunseling Kebangsaan mencerminkan nilai-nilainya sebagai bank berjiwa KeBruneian, yang secara aktif menyokong platform yang memupuk daya tahan mental, belas kasihan dan pembelajaran bersama.

