Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Seramai 30 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil badan penilaian konformiti (CAB) yang berdaftar di Pusat Standard dan Akreditasi Brunei Darussalam (PSABD) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang terdiri daripada makmal-makmal perubatan jabatan kerajaan dan swasta telah menghadiri Bengkel ISO 15189:2022-Medical Laboratories-Requirements for Quality and Competence yang berlangsung di Hotel Centrepoint, di ibu negara pada 12 hingga 14 November.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), hari ini, bengkel yang dianjurkan oleh PSABD dengan kerjasama dua hala bersama Jabatan Standard Malaysia (JSM) di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia itu, dilaksanakan bersempena dengan Hari Akreditasi Sedunia 2024 yang membawa tema, Akreditasi: Memperkasakan Hari Esok dan Membentuk Masa Depan.
Hadir untuk merasmikan bengkel berkenaan ialah Pemangku Pengarah PSABD di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayangku Hajah Nadiah Annasyitah binti Pengiran DP Haji Abu Bakar.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dayangku Hajah Nadiah menekankan peranan penting keputusan makmal yang boleh dipercayai dalam memastikan diagnosis yang tepat dan hasil klinikal yang positif.
Bagi mengurangkan risiko kesilapan dan mengekalkan standard yang tinggi, makmal perubatan perlu melaksanakan sistem pengurusan kualiti yang kukuh.
Oleh itu, bengkel berkenaan adalah penting dalam memperkukuhkan pemahaman mengenai Standard ISO 15189:2022 bagi memastikan makmal beroperasi secara cekap dan kompeten.
Akreditasi juga mencerminkan komitmen makmal untuk memenuhi kecekapan teknikal dalam menghasilkan keputusan makmal yang tepat kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Akreditasi, JSM, Dayang Fariza Wan Abdullah selaku fasilitator bengkel, menerangkan mengenai ISO 15189:2022 dengan penekanan terperinci para setiap klausa standard itu.
Bengkel turut membincangkan aspek praktikal seperti ketidakakuran, kawalan dokumen, audit dalaman, penilaian risiko, ketidakpastian pengukuran, semakan pengurus serta penambahbaikan berterusan yang membantu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam perkhidmatan penilaian konformiti makmal.
Bengkel itu merupakan satu usaha PSABD dalam mempromosikan budaya kerja berkualiti bagi makmal-makmal perubatan tempatan dengan melaksanakan sistem pengurusan kualiti makmal berlandaskan ISO 15189:2022.
Hari Akreditasi Sedunia yang disambut setiap 6 Jun merupakan sebuah inisiatif global yang diterajui oleh The International Accreditation Forum (IAF) dan International Laboratory Accreditation Cooperation (ILAC) untuk mempromosikan kepentingan akreditasi.
PSABD kekal komited untuk mempromosikan budaya kualiti dan kecemerlangan dalam komuniti makmal perubatan di Negara Brunei Darussalam.
Dengan menganjurkan bengkel sedemikian, PSABD berhasrat untuk memperkasakan makmal untuk mencapai dan mengekalkan piawai kecekapan teknikal tertinggi.