SONGKHLA, 30 JUN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bercadang mempromosikan makanan jalanan (street food) melalui Pesta Makanan ‘Malaysia Street Food Lover’ di pusat-pusat peranginan Thailand.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Salim Parlan berkata pesta makanan yang diadakan pada minggu lepas, sempena Malaysia Fest 2019 di Bangkok telah mendapat sambutan memberangsangkan.
“Pesta makanan ini bertujuan memperkenal dan mempromosi makanan jalanan Malaysia kepada warga tempatan dan juga pelancong asing. Melalui pesta kali ini, pihak kementerian melihat penerimaan penduduk tempatan terhadap masakan Malaysia.
“Saya mencadangkan destinasi pelancongan seperti Phuket dan Krabi, dijadikan lokasi pesta makanan Malaysia Street Food Lover tour pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sejak Khamis, Malaysia Street Food Lover 2019 di Hatyai, Songkhla, selatan Thailand, berlangsung hingga hari ini.
Sebanyak 68 menu makanan gerai popular dari seluruh Malaysia, berkampung di Central Festival Hatyai menghidangkan masakan popular Malaysia termasuk nasi lemak, mee kolok Sarawak dan asam pedas.
Sementara itu, pengusaha nasi lemak Khairi Suib menyambut baik cadangan pesta makanan seperti ini diteruskan di pusat-pusat peranginan di Thailand, yang mempunyai pelancong dari seluruh dunia.
“Street Food Malaysia berpotensi besar untuk diperkembangkan,” katanya. – Bernama
