Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Kemapanan dan urus tadbir maritim adalah amat penting dan dengan itu Bengkel Serantau Rejim Pampasan dan Liabiliti Sivil Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang dianjurkan telah menggariskan komitmen kolektif terhadap akauntabiliti dan mempromosikan operasi maritim global yang mampan alam sekitar dan selamat.
Ia mencerminkan dedikasi Negara Brunei Darussalam untuk memupuk kerjasama antarabangsa dan memajukan urus tadbir maritim, jelas Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Perasmian Bengkel Serantau Rejim Pampasan dan Liabiliti Sivil IMO yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, hari ini.
Beliau juga mengulas mengenai kepentingan pembangunan kapasiti dan kolaborasi serantau serta mengambil maklum bahawa bengkel itu menandakan mercu tanda signifikan dalam mengukuhkan kapasiti dan kesiapsiagaan bagi kecemasan maritim Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, ia juga menjadi pemacu bagi meningkatkan kolaborasi serantau dan antarabangsa serta bermatlamat untuk mempromosikan integrasi amalan-amalan terbaik, tambahnya.
Turut hadir pada perasmian bengkel berkenaan ialah Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP), Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman.
Bengkel yang dihoskan oleh PBMP diadakan bermula 20 hingga 24 Januari itu disertai 24 orang wakil dari 13 buah anggota di seluruh rantau Asia Pasifik.
Bengkel itu dimudahcarakan oleh pakar terbilang iaitu Jan Engel de Boer dari IMO, Mark Horman dari International Group of P&I Clubs (IG of P&I) dan Julien Rabeux dari Secretariat of International Oil Pollution Compensation (IOPC) Funds.
Bengkel berkenaan menumpukan kepada konvensyen kritikal termasuk rejim CLC/Fund, Konvensyen HNS, Konvensyen Bunkers, LLMC dan Konvensyen Nairobi. Ia bermatlamat untuk memudahkan pelaksanaan dan penguatkuasaan rejim liabiliti dan menyediakan gambaran menyeluruh konvensyen-konvensyen berkenaan.
Para peserta bengkel akan meneroka sejarah, prinsip, pelaksanaan dan kesan dunia sebenar konvensyen berkenaan, justeru memperoleh pandangan berharga dalam prinsip pampasan dan liabiliti serta bagaimana ia diintegrasikan dalam undang-undang negara.