Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Promosi pandangan positif wanita bersaiz besar

    GUANGZHOU – Dikelilingi oleh rak pakaian berwarna-warni dan blazer di hab pembuatan China di Guangzhou, pemilik jenama pakaian bersaiz besar dan juga pempengaruh, Amanda Yao sedang dalam misi untuk mempromosikan pandangan positif terhadap semua bentuk badan.

    Dia adalah sebahagian daripada sebilangan kecil wanita tetapi semakin ramai di China yang mencabar standard kecantikan yang ketat, termasuk kurus, kulit cerah dan ciri-ciri seperti kanak-kanak.

    Dalam talian, pepatah yang sering dipromosikan mendakwa bahawa ‘tidak ada wanita yang baik melebihi 50 kilogram’, sementara cabaran media sosial baru-baru ini mendorong wanita mencuba pakaian kanak-kanak atau mempamerkan syiling yang boleh mereka susun pada tulang selangka mereka untuk menunjukkan betapa kurusnya mereka.

    Yao mereka pakaian yang bergaya dan mewah untuk wanita bersaiz besar, menawarkan kontras warna yang cerah dengan pakaian potongan buruk yang biasanya tersedia dalam warna gelap ‘yang nampak langsing’.

    “Saya mahu pelanggan saya mempunyai pakaian yang menunjukkan siapa mereka di dalam, dan bukannya potongan tanpa jiwa yang hanya wujud untuk menjadikan mereka kelihatan lebih kurus,” kata wanita berusia 35 tahun itu kepada AFP.

    Amanda Yao memeriksa pakaian di pejabatnya di Guangzhou, di selatan wilayah Guangdong, China. – AFP
    Lakaran dan bahan pakaian kelihatan di pejabat pemilik jenama pakaian berbadan besar di Guangzhou. – AFP
    Pereka Sun Jiaqi menyeterika baju di pejabat Amanda Yao. – AFP
    Amanda Yao membuat penstriman langsung di bengkelnya di Guangzhou. – AFP
    Pekerja sedang menjahit pakaian di bengkel. – AFP

    Apabila bercakap tentang pakaian, kebanyakan peruncit China menumpukan pada saiz yang lebih kecil dan ‘berfikir bahawa orang yang lebih besar tidak memerlukan fesyen dan tidak memerlukan pakaian yang cantik,’ kata Yao.

    “Tetapi kami mempunyai pekerjaan, kami mempunyai keluarga, kami mempunyai kehidupan yang dihormati, dan kami ada kalanya juga memerlukan beberapa pakaian cantik dan menarik.”

    Untuk mempromosikan kedai dalam taliannya, Yao menyiarkan gambar pakaiannya di aplikasi Xiaohongshu seperti Instagram, selalunya memakai seluar legging dan blaus senaman ketat yang dipakainya untuk mendaki bukit berhampiran pejabatnya.

    “Usah risau tentang badan,” tulis Yao, yang secara terbuka bercakap tentang berat 100 kilogram, dalam satu catatan blog kepada lebih 15,000 pengikutnya.

    “Peduli apa jika saya memakai blaus bertali dan mempunyai lengan yang besar?”

    BERMAIN DENGAN WARNA

    Yao mula menjual pakaian bersaiz besar empat tahun lalu selepas kembali ke China dari United Kingdom, tempat dia bekerja selama beberapa tahun.

    “Saya mendapati sukar untuk membeli pakaian di sini,” katanya kepada AFP.

    Barangan yang ditempah dalam talian selalunya tidak sama dengan gambar penjual, dan Yao mula muak dengan ‘pakaian yang sangat hodoh’.

    Di pejabat dan bilik pamerannya di Guangzhou bulan ini, Yao mempamerkan jaket sutera merah jambu gaya Cina dari jenamanya Yue Design, sementara menggayakan set kardigan dan skirt warna hijau terang.

    “Saya tidak pernah menyiarkan foto diri saya memakai pakaian warna hitam dalam talian,” kata Yao.

    Dengan mengelakkan warna yang disyorkan secara tradisional untuk wanita yang lebih besar, dia juga telah menggalakkan beberapa pelanggannya untuk menerima corak yang lebih terang dan ceria.

    Sementara pilihan pakaian untuk pembeli bersaiz besar kekal terhad, beberapa jenama China telah mengambil langkah untuk menjadi lebih inklusif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    Jenama pakaian dalam, Neiwai dan syarikat pakaian santai, An Action A Day telah menampilkan model berbadan besar dalam iklan mereka, walaupun kebanyakan barangan mereka hanya memenuhi keperluan wanita sehingga 70 kilogram.

    PENELITIAN TUBUH BADAN

    Selain Yao, pempengaruh lain di China telah menemui pelanggan yang tidak sabar-sabar untuk hantaran mereka tentang penerimaan diri dan gambar mereka menikmati makanan dan menggayakan pakaian, walaupun menerima tekanan untuk berdiet.

    Di platform Xiaohongshu, hashtag ‘usah risau susuk badan’ muncul dalam hampir 200,000 hantaran.

    Namun ia masih merupakan perubahan yang ketara daripada kebanyakan kandungan imej badan di media sosial Cina.

    Satu format popular baru-baru ini melibatkan seseorang menyiarkan foto diri mereka dan meminta penonton untuk petua penampilan.

    Siaran seperti itu sering mendapat perhatian yang melampau daripada pengulas, yang mencari kelemahan orang yang khusus seperti mempunyai rahang empat persegi dan bukannya dagu runcing ‘ideal’.

    Dengan pendedahan berterusan kepada susuk badan yang ideal, orang ramai ‘mula menggabungkan makna nilai mereka sendiri dengan rupa penampilan mereka,’ beritahu Stephanie Ng, yang mengendalikan organisasi kesihatan mental yang berpangkalan di Hong Kong, Body Banter, kepada AFP.

    Semuanya mempunyai kesan berbahaya, termasuk diet yang melampau dan gangguan makan, kata Ng.

    Tidak ada banyak data rasmi mengenai gangguan pemakanan di China, tetapi Pusat Kesihatan Mental Shanghai yang terkenal melaporkan peningkatan daripada lapan pesakit sedemikian pada 2002 kepada 3,000 pada 2021, menurut penyiar negeri CGTN.

    Walaupun Yao telah membina pengikut setia, hantarannya juga boleh menarik komen dengan kata-kata yang kesat.

    “Berani menyiarkan gambar hodoh yang menunjukkan lemak badan awda yang berbentuk cincin tidak memberikan keyakinan,” tulis seorang pengulas di bawah salah satu siaran senaman Yao.

    Dia memberitahu AFP bahawa kritikan itu hanya membuatnya lebih berazam.

    “Saya mahu membantu wanita yang berasa benci kepada diri sendiri untuk melihat diri mereka dengan cara yang baharu,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda