Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Promosi pekerjaan hijau

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN (ALMM) ke-25 dan Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN +3 (ALMM+3) ke-10 di Kuala Lumpur, Malaysia selama dua hari.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), hari ini, ALMM ke-25 telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia Malaysia, Tuan Yang Terutama M Kula Segaran pada 28 November itu turut disaksikan oleh Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi, menteri-menteri buruh dan para pegawai buruh kanan ASEAN serta ahli-ahli Sekretariat ASEAN.

    Delegasi Brunei yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KHEDN, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud; Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, TYT Dato Paduka Haji Alaihuddin bin POKDSLDSU Haji Awang Mohd Taha; Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Muhd Saufi bin Haji Ibrahim serta pegawai kanan dari KHEDN dan Jabatan Buruh.

    Menurut kenyataan itu lagi, menteri-menteri buruh ASEAN mengambil maklum mengenai keputusan relevan yang dibuat oleh ketua-ketua negara semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 dan ke-31 yang diadakan pada April dan November 2017 di Manila, Filipina serta juga hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-32 dan ke-33 yang diadakan di Singapura pada April dan November lalu.

    Menteri-menteri buruh ASEAN juga mengalu-alukan persetujuan ketua-ketua negara ASEAN mengenai Deklarasi ASEAN bagi Mempromosi Pekerjaan-pekerjaan Hijau bagi Kesaksamaan dan Pertumbuhan Merangkumi Semua Komuniti ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 serta mengambil maklum minat kerajaan Malaysia dan Singapura untuk menyediakan Kenyataan Bersama ASEAN bagi Kemahiran Hijau dan Masa Depan Pekerjaan.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika mengadakan kunjungan muhibah kepada TYT M Kula Segaran. – Gambar oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri

    Kenyataan bersama itu dijangka akan dihadapkan oleh ASEAN semasa Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva, Switzerland pada 2019.

    Semasa ALMM ke-25, menteri-menteri yang bersidang menyokong pelbagai pelan tindakan dan inisiatif dalam melaksanakan beberapa dokumen utama menteri-menteri buruh ASEAN termasuk Pelan Tindakan dan Alat Penilaian Kendiri untuk dilaksanakan oleh Konsensus ASEAN bagi Promosi dan Perlindungan Hak Buruh Migran.

    Selain itu, ia juga merangkumi inisiatif di bawah Badan Sektoral Jaring Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ASEAN (OSHNET) untuk melaksanakan kenyataan menteri-menteri buruh ASEAN bagi memperbaiki kesihatan dan keselamatan pekerjaan bagi pertumbuhan ekonomi mapan di mana kedua-dua inisiatif diambil maklum oleh ketua-ketua negara semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura dari 11 hingga 15 November lalu.

    Menteri-menteri yang bersidang juga menyemak semula dan membincangkan proses yang sedang dijalankan bagi pelan tindakan serantau untuk melaksanakan Deklarasi Vientiane bagi Transisi dari Pekerjaan Informal ke Pekerjaan Formal ke arah Promosi Pekerjaan Baik di ASEAN.

    Menurut kenyataan itu lagi, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar serta delegasi Negara Brunei Darussalam menghadiri ALMM+3 ke-10, di mana menteri-menteri ASEAN +3 bertukar-tukar pandangan mengenai tema mesyuarat bagi mempromosikan pekerjaan hijau bagi kesaksamaan dan pertumbuhan merangkumi semua komuniti ASEAN.

    Yang Berhormat Pehin dalam ulasannya pada mesyuarat berkenaan menekankan pentingnya data untuk membimbing penjanaan dasar dalam konteks pekerjaan hijau.

    Beliau menyatakan bahawa untuk menjana kefahaman koheren mengenai potensi ekonomi hijau bagi kerajaan, negara-negara ASEAN secara bersatu, dapat meningkatkan lagi pengumpulan data berhubung dengan ekonomi hijau dan sektor alam sekitar.

    Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa data yang lebih baik bagi pekerjaan baik dan hijau khususnya amat diperlukan untuk mendapat akses kepada impak perubahan iklim dan dasar-dasar berhubungan iklim bagi pekerjaan serta potensi untuk merangkumi para pekerja.

    Hadir semasa ALMM+3 ke-10 ialah naib menteri dari Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.

    Sempena ALMM ke-25 itu juga, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar mengadakan kunjungan muhibah dan bertukar-tukar pandangan mengenai perkara berkepentingan bersama dengan TYT M Kula Segaran dan Menteri Tenaga Manusia, Singapura, PYT Josephine Teo.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda