Thursday, March 13, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Promosi pelaburan tingkat kapasiti pengusaha tempatan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) sedang giat menjalankan beberapa promosi peluang pelaburan melalui ekspo serantau dan antarabangsa di negara-negara yang disasarkan seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Republik Singapura dan Republik India untuk menjadi pelabur FDI ke negara ini.

    Bagi memastikan penglibatan pengusaha tempatan dalam meraih peluang perniagaan daripada pelaburan langsung asing (FDI), termasuk peluang limpahan (spin-off) atau penglibatan dalam rantaian nilai serta pembekalan barang-barang dan perkhidmatan, pihak LKEB sentiasa mempromosi peluang-peluang berkenaan.

    “Inisiatif ini melibatkan PMKS tempatan sebagai syarikat pembekal dan vendors kepada syarikat-syarikat besar, termasuk FDI. Melalui DAReLINKS, lebih daripada 600 peluang kontrak telah pun diiklankan untuk ditawarkan kepada perusahaan tempatan.”

    Penerangan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim mengenai keberkesanan usaha LKEB dalam menarik FDI termasuk melalui misi pemasaran ke luar negara semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato menerangkan projek-projek seperti di sektor hiliran minyak dan gas telah menjana kesan limpahan (spin-off effects) yang positif, melalui operasi Hengyi Industries Sdn Bhd telah memperoleh khidmat dan bekalan daripada 121 buah syarikat tempatan, Brunei Fertilizer Industries daripada 230 syarikat tempatan dan Brunei Methanol Company (BMC) sebanyak 32 syarikat tempatan.

    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Kesan limpahan itu tidak hanya menambah peluang perniagaan kepada PMKS tempatan tetapi juga meningkatkan kemampuan dan kapasiti operasi mereka.

    Selain itu, jelasnya, ia mendorong penubuhan perusahaan-perusahaan baharu untuk memenuhi keperluan syarikat-syarikat besar dan FDI dalam pelbagai industri.

    Perusahaan-perusahaan yang terlibat telah membekalkan perkhidmatan seperti IT, infrastruktur dan pembinaan, pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan, perkhidmatan mekanikal dan elektrik, pengurusan fasiliti dan perkhidmatan pembersihan, penyelenggaraan landskap & kawasan, pengurusan acara dan perkhidmatan kreatif, keselamatan, katering, latihan HSE serta pembekalan produk barangan seperti pakaian dan peralatan pelindung diri (PPE) dan peralatan ICT.

    Di samping itu, syarikat-syarikat FDI seperti kilang pengeluaran asid asetik dan anilin (AAA) atau pun Projek AAA telah ditubuhkan sebagai projek spin-off daripada syarikat usaha sama kerajaan, iaitu Syarikat Polygel Organometallic Sdn Bhd.

    Projek AAA itu menggunakan produk-produk petrokimia dari syarikat Hengyi, BFI, dan BMC sebagai bahan mentah utama.

    Selain itu, Syarikat Brunei Rotary Engineering Sdn Bhd juga telah ditubuhkan untuk mendukung kilang-kilang dan syarikat-syarikat yang sedia ada dalam perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC).

    Syarikat BFI berpotensi membuka peluang pelaburan baharu dengan menggunakan pengeluaran produk mereka seperti ammonia dan urea untuk kilang pengeluaran formaldehyde, melamina dan sebagainya.

    Syarikat-syarikat FDI telah memberikan impak positif dengan menambah peluang perniagaan kepada penubuhan syarikat PMKS tempatan, meningkatkan operasi dan memenuhi keperluan perkhidmatan bagi syarikat-syarikat FDI tersebut.

    Pada tahun 2024, perbelanjaan kepada pengusaha-pengusaha tempatan untuk perkhidmatan kejuruteraan khas, perkhidmatan marin, perkhidmatan penyelenggaraan, pengurusan sisa dan perkhidmatan keselamatan sekurang-kurangnya berjumlah $32.3 juta.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berkata terbukti bahawa pengusaha-pengusaha tempatan telah meningkatkan kapasiti mereka secara beransur-ansur dengan sokongan daripada syarikat-syarikat FDI.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda