Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Usaha terus dilaksanakan untuk mempromosikan produk pelancongan Negara Brunei Darussalam dengan penyertaan negara dalam Arabian Travel Market (ATM) 2025 yang berlangsung di Dubai World Trade Centre, Emiriah Arab Bersatu pada 28 April hingga 1 Mei.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), ATM merupakan pintu masuk kepada pembangunan pelancongan dan pengembaraan global, menjadi sebuah platform penting bagi industri perdagangan pelancongan, menyatukan kesemua sektor termasuk riadah, kemewahan, acara perniagaan dan pelancongan korporat.
Penyertaan Negara Brunei Darussalam menggariskan komitmennya kepada mengukuhkan keberadaan negara dalam pasaran Timur Tengah, menjalin kerjasama strategik dan mengetengahkan kepelbagaian tawaran pelancongannya kepada warga antarabangsa yang lebih meluas.
JKP telah diiringi oleh enam buah agensi utama termasuk Penerbangan Diraja Brunei (RB), ejen-ejen pelancongan dan wakil-wakil hotel, yang terlibat dalam siri perjumpaan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) bertujuan mempromosikan produk-produk pelancongan Brunei kepada profesional perdagangan pelancongan unggul dari dalam dan luar rantau berkenaan.
Hari pertama ATM 2025 menyaksikan minat yang mendalam dan pertemuan bermakna di reruai Brunei Darussalam yang berpaksikan kepada tema, Warisan Diraja Keagungan Islam dan Alam Semula Jadi Liar, iaitu mengetengahkan inti pati keunikan tarikan Brunei serta bertujuan untuk mencetuskan rasa ingin tahu di kalangan bakal-bakal pelancong.
Tawaran pelancongan Brunei disokong lagi oleh hubungan langsung udara di antara Negara Brunei Darussalam dan Dubai melalui RB, menyediakan akses yang mudah kepada pelancong Timur Tengah untuk mengalami Brunei sebagai sebuah destinasi tumpuan ekopelancongan yang semakin meningkat di Asia Tenggara.
Bagi meningkatkan lagi keberadaan Brunei di ATM 2025, sebuah sesi rangkaian yang dihoskan bersama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak juga diadakan pada 1 Mei lalu, di mana ia mengalu-alukan seramai kira-kira 50 orang profesional industri pelancongan dan wakil media.
Acara itu memperkenalkan, Echoes of Borneo, sebuah kempen pelancongan kolaboratif antara JKP, Negara Brunei Darussalam dan Lembaga Pelancongan Sarawak, bermatlamat untuk mempromosikan sebuah pengalaman dwi-destinasi yang lancar.
Kempen itu mengetengahkan warisan budaya yang kaya, keindahan landskap semula jadi dan kembara pelancongan yang ditawarkan oleh kedua-dua destinasi, yang dihubungkan dengan mudah menerusi laluan Dubai-Brunei-Sarawak.
Rantau Timur Tengah terus berkembang sebagai sebuah rantau ‘peluang’ bagi destinasi Asia Tenggara.
Penglibatan Brunei di ATM 2025 mencerminkan usaha strategik untuk membina hubungan peringkat awal bagi meningkatkan kesedaran destinasi dan meneroka sinergi dengan pihak berkepentingan pelancongan rantau berkenaan.