Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Lebih 20 orang peserta telah menyertai aktiviti mengambil gambar yang bertujuan untuk mempromosikan industri pelancongan tempatan di mana para peserta dibawa untuk mendapatkan barangan tertentu daripada pengusaha tempatan yang menawarkan harga terbaik dan berpatutan.
Acara yang dianjurkan oleh Kumpulan Brunei Daily Snaps itu bermula di ibu negara pada petang tadi. Pengasas Kumpulan Brunei Daily Snaps, Dayang Aisha Diana @ Mewsum Wong menjelaskan bahawa acara tersebut diharap dapat membantu para peniaga tempatan untuk menambahkan jumlah jualan mereka seterusnya memberi peluang kepada para peserta untuk mendapatkan barangan tertentu pada harga yang terbaik.
Beliau menambah, hasil daripada penjualan baju-T Kumpulan Brunei Daily Snaps juga akan disumbangkan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam sebagai memberi sokongan kepada pertubuhan amal tempatan tersebut.
Sepanjang pengembaraan menggunakan tiga buah bot tersebut, peserta turut berpeluang untuk mengabadikan kenangan mereka dengan mengambil gambar dengan pemandangan yang terdapat di persekitaran perairan Sungai Brunei.
