Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Promosi pembangunan mampan menerusi STI

    Oleh Sim Y.H. –

    Sains, teknologi dan inovasi (STI) sentiasa memainkan peranan penting dalam pembangunan manusia untuk memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan standard kehidupan serta mempromosikan pembangunan mampan.

    Pada masa yang sama, ia juga telah diberikan pengiktirafan bagi memupuk kesejahteraan budaya dan sosial, misalnya penggunaan teknologi digital untuk membantu menghubungkan orang dan mempromosikan pertukaran budaya dengan menyediakan akses yang lebih mudah kepada maklumat serta menjana masyarakat yang lebih inklusif dengan memperbaiki akses dan kesalinghubungan.

    Dalam hubungan itu, negara-negara anggota ASEAN berdiri teguh dan bersedia untuk menghadapi cabaran hari ini dan masa hadapan.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara-negara anggota ASEAN juga menunjukkan komitmen untuk menggunakan kuasa ilmu pengetahuan dan inovasi bagi memacu pembangunan mampan, pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki kehidupan penduduknya.

    Selain itu, ASEAN juga telah menyaksikan kemajuan yang signifikan dalam bidang sains dan teknologi di mana rantau berkenaan telah menjadi sebuah hab inovasi dengan ekosistem pemula yang mantap, institusi penyelidikan dan pusat kecemerlangan muncul di serata rantau berkenaan.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyaksikan pameran sempena perasmian IAMMSTI ke-12 yang diadakan di The Empire Brunei, baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary hadir bersama tetamu lain pada perasmian IAMMSTI ke-12 baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Satvinder Singh menyampaikan ucaptama pada perasmian IAMMSTI ke-12 dan Pameran dan Persidangan Masa Depan Digital yang berlangsung di The Empire Brunei, baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Ke arah itu, kolaborasi dan perkongsian pengetahuan merupakan tonggak kepada perkembangan itu, jelas Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam ucaptamanya pada Perasmian Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri ASEAN bagi Sains, Teknologi dan Inovasi ke-12 (IAMMSTI-12) dan Pameran dan Persidangan Masa Depan Digital yang berlangsung di The Empire Brunei, baru-baru ini.

    “Kita telah secara aktif bekerja bersama untuk memupuk kerjasama, pertukaran amalan-amalan terbaik dan mempromosikan projek-projek penyelidikan bersama untuk mencapai perkembangan yang lebih besar dalam STI,” katanya selaku Pengerusi IAMMSTI-12.

    Ke arah membangunkan ekosistem STI di rantau ini sebagai asas untuk menyokong objektif ASEAN, Yang Berhormat Pengiran Dato menyatakan bahawa menteri-menteri ASEAN terus dibimbing oleh Pelan Tindakan ASEAN bagi Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2016-2025 berdasarkan empat teras strategik iaitu kolaborasi swasta-awam, mobiliti bakat, kesalinghubungan antara penduduk dan inklusif, sokongan perusahaan serta kesedaran awam dan pembudayaan STI.

    Usaha memajukan STI di Negara Brunei Darussalam

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyatakan di peringkat kebangsaan, Council for Research and the Advancement of Technology and Science (CREATES), di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi memainkan peranan utama dalam pembiayaan dan menyokong aktiviti-aktiviti penyelidikan dalam negara.

    CREATES bermatlamat untuk meningkatkan ekosistem penyelidikan, mempromosikan kolaborasi antara disiplin serta menyokong pembangunan kapasiti dalam penyelidikan dan inovasi. Bidang-bidang tumpuan utama adalah untuk menyokong pembangunan beberapa kluster berkaitan penyelidikan dan pembangunan seperti Kesihatan, ICT, Teknologi dan Sains Makanan, Pembangunan Mampan dan Alam Sekitar serta Tenaga.

    Sehingga kini, jelas Yang Berhormat Pengiran Dato, CREATES telah menyediakan pembiayaan kepada beberapa projek yang kebanyakannya memanfaatkan teknologi maklumat dan bioteknologi bertujuan untuk meningkatkan produktiviti industri-industri negara serta menyokong perkembangan dasar.

    “Bergerak ke hadapan, kita juga menumpukan kepada pembangunan Kerangka STI Kebangsaan untuk meningkatkan penyelarasan kesemua pihak berkepentingan termasuk sektor awam, sektor swasta dan institusi-institusi penyelidikan. Namun begitu, masih terdapat cabaran-cabaran yang perlu diatasi dengan pelaburan dalam pembangunan dan penyelidikan serta mengukuhkan perlindungan hak harta intelektual kekal mustahak dan harus diberi perhatian,” katanya.

    Rebut peluang revolusi digital

    Rantau ASEAN juga menerima sepenuhnya peluang-peluang yang datang daripada revolusi digital. Pada masa yang sama, ASEAN juga telah menyaksikan pertumbuhan eksponen dalam kesalinghubungan internet, terima guna teknologi mudah alih dan e-dagang.

    Semua itu telah membawa kepada kemunculan ekonomi digital mantap, yang membolehkan syarikat pemula dan usahawan untuk maju, menggalakkan inovasi bagi berkembang, mempromosikan kemasukan digital dalam komuniti serta menjana peluang-peluang pekerjaan baharu.

    Peranan penting inovasi dalam pembangunan ekonomi ASEAN khususnya untuk menjadikannya sebagai sebuah rantau inovatif turut ditekankan oleh Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Ekonomi ASEAN, Satvinder Singh dalam ucaptama bertajuk, Breaking Barriers: The Role of Innovation in Overcoming Challenges and Securing Opportunities in ASEAN.

    Dalam ucaptama itu, beliau mengongsi mengenai peluang dan cabaran-cabaran yang dihadapi ke arah menjadikan ASEAN sebuah rantau inovatif. Pada masa yang sama, dengan lapan buah negara anggota ASEAN tersenarai sebagai antara 100 teratas dalam ranking Indeks Inovasi Global (GIl), setentunya inovasi memainkan peranan utama dalam hala tuju pembangunan negara dan juga rantau berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda