Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Lebih 40 pemimpin universiti yang merupakan ahli-ahli Persatuan Universiti-universiti Islam Asia (AIUA) telah menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan ke-13 yang berlangsung di Indera Samudera Grand Hall, The Empire Brunei, Jerudong.
Ahli-ahli AIUA yang hadir terdiri daripada universiti-universiti dari Indonesia, Malaysia, Kemboja, Thailand dan Negara Brunei Darussalam.
Hadir bagi mewakili Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ialah Rektor, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang juga merupakan Timbalan Presiden AIUA.
Pada tahun ini, UNISSA telah terpilih untuk menjadi hos dengan mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden AIUA, Profesor Dr Mujiburrahman yang juga merupakan Rektor Universitas Islam Negeri Antasari, Banjarmasin, Indonesia.
Mesyuarat agung tahunan berkenaan diadakan untuk membangunkan rangka kerjasama universiti-universiti di peringkat Asia dan kebangsaan di samping mempromosikan pendidikan Islam melalui universiti-universiti yang terlibat.
Sebelum mesyuarat agung berkenaan diadakan, pihak AIUA telah mengadakan beberapa aktiviti, antaranya Workshop on Managing Outbound and Inbound Student Mobility Programme yang telah diadakan di Krabi, Thailand pada Februari lepas.
Kali ini, mesyuarat agung tersebut telah diserikan dengan Persidangan Antarabangsa Universiti-universiti Islam (ICIU) 2023 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini di The Empire Brunei.
Persidangan berkenaan julung kalinya dianjurkan oleh UNISSA dengan kerjasama AIUA.


