Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Kedutaan Besar Republik Turkiye telah mengadakan bengkel budaya untuk isteri menteri-menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan yang lain di Kediaman Duta Besar Republik Turkiye, hari ini.
Bengkel Kulinari Turkiye anjuran Institut Yunus Emre (YEE) di Brunei dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Turkiye.
Program tersebut diketuai oleh Pengarah YEE Brunei, Lale Ersoy, yang antara lain bertujuan mempromosikan pertukaran budaya.
Bengkel tersebut turut menampilkan demonstrasi memasak secara langsung hidangan ashura, pencuci mulut tradisional Turkiye, yang dikendalikan oleh Cef Kedutaan, Adem Can.
Sambil menikmati pelbagai hidangan dan minuman popular Turkiye yang disediakan oleh Antalya Enterprise yang beroperasi di Brunei, tetamu juga berpeluang melihat pameran yang mempamerkan pelbagai dan berwarna-warni filigri perak Turkiye, dikenali sebagai telkâri.
Pameran filigri perak Turkiye itu disusun oleh sebuah perusahaan tempatan yang diusahakan oleh warga Turkiye, Cappadocia Silver.
Di acara itu, Lale Ersoy berkata, “Ini merupakan satu penghormatan untuk mengadakan acara ini bagi tetamu dan berkongsi sebahagian daripada sejarah budaya Turkiye.”
Selain itu, beliau turut menambah bahawa objektif acara berkenaan bukan sahaja untuk mempamerkan budaya, tetapi juga untuk menghimpunkan masyarakat bagi menghayatinya.
Acara tersebut menyediakan platform yang subur untuk diplomasi budaya antara Turkiye dan Brunei, sekali gus memudahkan interaksi melalui aktiviti budaya yang dikongsi bersama.

– GAMBAR SERAHAN KEDUTAAN BESAR REPUBLIK TURKIYE
