Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyediakan platform bagi perusahaan mikro tempatan, sambil menyatukan masyarakat untuk tujuan sosial, Community for Brunei, satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Bank Islam Brunei (BIBD) menganjurkan Karnival Komuniti di perkarangan Kompleks Membeli-belah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di ibu negara, hari ini.
Karnival menampilkan pelbagai aktiviti dan jualan makanan minuman daripada perusahaan mikro tempatan yang menawarkan makanan tempatan hingga antarabangsa dan juga disertai oleh SCOT Social Kitchen.
Di samping itu, ke arah mempromosi kehidupan lestari, karnival turut menampilkan Thrift Boutique yang menjual pakaian terpakai sebagai usaha mendorong orang ramai untuk menggunakan semula dan mengelakkan pembaziran.
Hasil penjualan Thrift Boutique berkenaan akan disalurkan kepada organisasi amal tempatan Save Our Strays.
Orang ramai yang berkunjung ke karnival berkenaan bukan saja dapat bersantai bersama keluarga sambil menikmati makanan dan minuman malah turut berpeluang berkunjung ke gerai Buat-Sendiri-Gelang dengan Co.Suki dan bilik inai oleh Mira Henna.
Karnival turut dimeriahkan dengan pelbagai permainan karnival yang menyeronokkan yang menawarkan hadiah selain berpeluang merakamkan gambar di karnival berkenaan.
