Oleh Daniel Lim
BELAIT, 31 OGOS – Dalam usaha untuk mempromosikan kawasan Teraja sebagai potensi ekopelancongan dengan kepelbagaian flora dan fauna, Jawatankuasa Rumah Panjang Teraja telah mengalu-alukan rombongan dari At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd yang membuat lawatan ke kawasan berkenaan, kelmarin.
Hadir mengalu-alukan rombongan berkenaan ialah Setiausaha Jawatankuasa Rumah Panjang Teraja, Gaung Jamit yang bukan sahaja menyampaikan taklimat ringkas mengenai kawasan tersebut malah mengiringi mereka semasa kunjungan ke beberapa lokasi berpemandangan indah yang terdapat di kawasan berkenaan.
Semasa lawatan mereka, kumpulan tersebut telah mendaki Bukit Teraja yang bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan ekopelancongan kawasan berkenaan malah meningkatkan kesedaran tentang pelbagai tarikan pelancong yang terdapat di negara ini pada masa yang sama mendapatkan lebih banyak pengetahuan tentang flora dan fauna yang ada di sana.
Lawatan mereka diakhiri dengan menikmati hidangan tengah hari di Rumah Panjang Teraja di mana mereka disajikan pelbagai hidangan tempatan yang disediakan oleh penghuni rumah panjang tersebut.
