Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Dengan adanya tempat-tempat penginapan yang di kawasan strategik dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan baharu, rumah persinggahan (rest house) yang ada di daerah-daerah kini kurang menjadi pilihan orang ramai terutama bagi pegawai yang bertugas di luar daerah.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman, pada hari kelima Persidangan MMN ke-20 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini, turut mencadangkan agar rumah-rumah persinggahan itu dapat dipromosikan sebagai pilihan kepada orang ramai.
Menurutnya lagi, rumah-rumah persinggahan itu perlu menjalani kaedah penjenamaan semula bersama pihak-pihak berkepentingan seperti majlis perundiangan kampung (MPK) yang boleh dijadikan asas untuk program keusahawanan dan lainnya.
Menjawab kepada cadangan dan perkara yang disuarakan oleh Yang Berhormat Haji Mohd Salleh itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman menjelaskan, hala tuju rest house memang disediakan oleh jabatan-jabatan daerah dan berbentuk subsidi untuk orang ramai dan pegawai-pegawai kerajaan untuk menginap.
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, rumah persinggahan yang kurang menjadi pilihan tempat menginap adalah disebabkan adanya saingan dari segi hotel dan sebagainya.
Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menjawab pertanyaan Yang Berhormat Haji Mohd Salleh mengenai pembaik pulihan dewan-dewan.
“Sebanyak 12 buah dewan sudah dibaik pulih dan pembaikan dewan adalah mengikut keutamaan dan memang perancangan dari jabatan-jabatan daerah sudah terdapat senarai dewan untuk dibaiki,” jelasnya.



