BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Sebagai usaha menyokong kempen membeli-belah seluruh negara bagi merangsang ekonomi tempatan, Bank Baiduri menjalinkan kerjasama dengan First Emporium & Supermarket bagi mengadakan Promosi Salebration Bonanza, secara eksklusif untuk pemegang kad Baiduri.
Sepanjang Disember 2018, dengan menggunakan kad kredit atau debit dari Bank Baiduri di First Emporium & Supermarket, para pelanggan berpeluang mendapat satu peluang menyertai Cabutan Bertuah Salebration dan memenangi baucar membeli-belah mengikut terma dan syarat.
“Ini adalah salah satu kerjasama yang kami ada dengan perniagaan tempatan bagi memberikan pemegang kad kami hadiah setiap hari bersempena kempen Brunei Salebration di seluruh negara.
“Kami sentiasa mencari cara untuk mempromosikan perniagaan-perniagaan tempatan, sambil berterusan menghargai para pemegang kad kami,” kata Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.
Kad kredit dan debit Baiduri mempunyai banyak manfaat, seperti hadiah-hadiah dan tawaran eksklusif, pelan pembayaran yang mudah serta kemampuannya mengumpulkan Mata Bonus bagi Program Instant Rewards.
Dengan setiap pembelian, para pelanggan mendapat Mata Bonus, yang boleh ditukar menjadi Baiduri Dollars tersimpan dalam Kad Instant Rewards bagi penebusan segera di mana-mana cawangan Baiduri.