Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Promosi sambutan Hari Keluarga Kebangsaan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Para pemilik perniagaan, restoran, hotel, tempat-tempat permainan dan pawagam dijemput untuk sama-sama memeriahkan lagi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) dengan menawarkan promosi pakej keluarga sepanjang Mei dan Jun bagi menggalakkan keluarga untuk membeli-belah, bersantai atau menjamu selera bersama-sama.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) selaku urus setia sambutan HKK menyarankan para pemilik perniagaan, restoran, hotel, tempat-tempat permainan dan pawagam disarankan untuk mematuhi Peruntukan Pengecualian (Exemptions) di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Harga (Harga Jualan Murah) 2012 yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang boleh diperolehi di laman web http://deps.mofe.gov.bn.

    Bagi memudah cara aktiviti jualan oleh syarikat-syarikat perniagaan yang berhasrat untuk dikecualikan daripada Peraturan-peraturan Kawalan Harga (Harga Jualan Murah) 2012, mereka disarankan menggunakan Peruntukan Pengecualian (Exemptions) melalui kaedah-kaedah tertentu.

    Kaedah-kaedah berkenaan termasuk pengurangan harga tanpa mempamerkan perbandingan harga asal atau potongan peratus (diskaun) bagi mempamerkan harga yang murah daripada harga asal atau harga kebiasaannya. Seperti contoh harga asal sebotol minuman bergas adalah $2.50, tapi dijual dengan harga $1.50 sahaja tanpa mempamerkan harga asal.

    Kaedah seterusnya adalah pengurangan harga bersyarat iaitu harga murah atau promosi hanya dapat dinikmati jika telah memenuhi syarat-syarat tertentu terhadap pengguna sahaja. Seperti contoh members day sale, purchase with purchase, barangan kedua diskaun 20 peratus, kumpulan dengan lebih empat orang kanak-kanak mendapat diskaun 20 peratus dan pakai barangan berwarna biru sempena Hari Kanak-kanak Sedunia untuk mendapatkan diskaun bayaran masuk 10 peratus.

    Kaedah lain adalah pengurangan harga dilakukan secara lisan iaitu harga tawar-menawar yang dibuat oleh penjual dan pembeli sehingga mencapai harga yang dipersetujui.

    Selain itu, kaedah pengurangan atau diskaun harga bagi barangan yang mudah rosak dan sejam sebelum waktu tutup. Contohnya, harga diskaun 50 peratus bagi semua jenis roti selepas pukul 8 malam (sejam sebelum tutup).

    Pihak-pihak yang berhasrat untuk mengikuti tawaran promosi pakej keluarga berkenaan bolehlah menghubungi Urus Setia HKK melalui e-mel bhgkwk@japem.gov.bn atau di talian 2380704 pada waktu pejabat.

    HKK disambut setiap Ahad minggu pertama pada bulan Mei dan pada tahun ini, sambutan jatuh pada 5 Mei 2024 dengan tema Keluargaku Harapanku.

    Sambutan berkenaan bertujuan untuk menggalakkan masyarakat di Negara Brunei Darussalam untuk membina keluarga bahagia atau harmoni, kukuh dan berdaya tahan dengan meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda