Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Pesta tahun baharu tidak akan lengkap tanpa Yee Sang dan dengan kedatangan Sambutan Tahun Baharu Cina ini, Royal Brunei Catering (RBC) menyediakan set Yee Sang.
Set berkenaan dipenuhi dengan sayur-sayuran yang dipotong halus, wantan rangup, jeruk halia dan pilihan ikan salmon atau abalon.
Pada tahun ini, pengunjung diberikan lima pilihan Yee Sang dengan sajian ukuran sederhana kepada yang besar. Pelanggan boleh memilih set dengan pilihan abalon , ikan salmon, Pacific Clam, itik bakar dengan obor-obor yang dipotong kecil dan sayuran.
Boleh dinikmati di restoran atau bawa balik, set Yee Sang boleh didapati di kedua-dua restoran RBC iaitu Restoran Dynasty dan Horizons bermula awal hingga pertengahan Februari.
Selain set Yee Sang, Restoran Dynasty turut menawarkan pelbagai hidangan istimewa sempena Tahun Baharu Cina sesuai bagi sajian sekeluarga, antaranya ‘Braised Chinese Traditional Eight Treasure Whole Duck’, ‘Braised Lamb Shank with Chinese Brown Sauce’ dan ‘Stir Fried Mixed Vegetable & Fatt Chai with Oyster Sauce’.
Tambahan lagi, pelanggan juga dapat menikmati pelbagai hidangan dim sum seperti ‘dumpling’ makanan laut stim, Nian Gao goreng, ‘Golden Fried Salted Yam’, sup ‘dumpling’ dengan herba dan banyak lagi.
Pemegang kad RBC juga layak menerima diskaun 10 peratus.
