Selama enam tahun kebun Pravinbhai Parmar di negeri Gujarat di barat India, dikelilingi dengan padi, gandum dan panel suria.
Usahawan berusia 36 tahun itu merupakan salah seorang daripada beberapa petani di kampung asalnya, Dhundi, yang menggunakan tenaga suria untuk menyiram tanaman.
“Saya mengeluarkan sekitar 50,000 rupee (AS$615) setiap tahun untuk menyiram tanaman saya,” kata Parmar. “Dengan menggunakan tenaga suria, saya tidak perlu mengeluarkan apa-apa.”
Parmar juga menjual lebihan elektrik yang dijananya ke penduduk daerah sekitar, yang menghasilkan pendapatan rata-rata 4,000 rupee (AS$50) sebulan.
Ribuan petani telah disyorkan untuk menggunakan tenaga suria untuk irigasi di daerah yang kaya dengan pertanian itu untuk membantu India berupaya mencapai ‘pencemaran sifar’ menjelang 2070.
Namun, penggunaan tenaga bersih masih begitu jauh ke belakang berbanding penggunaan batu arang sehingga negara tersebut menjadi penghasil gas ketiga terbesar di dunia yang mencetuskan pemanasan global.
Bagaimanapun, Gujarat hanya merupakan salah satu dari empat negeri di India yang mencapai sasaran tenaga bersih mereka untuk tahun 2022. Kebanyakan negeri menggunakan kurang 50 peratus daripada sasaran mereka dan beberapa negeri seperti West Bengal hanya 10 peratus daripada sasaran mereka.
Secara keseluruhan, bahan api fosil menghasilkan lebih 70 peratus elektrik India dan melakukannya selama beberapa dekad. Tenaga bersih saat ini memberi hanya menyumbang kira-kira 10 peratus keperluan elektrik India.
Menurut analisis data Ember, India telah menghasilkan 168 gigawatt menggunakan batu arang sejak 2001 hingga 2021, hampir dua kali ganda daripada jumlah yang dihasilkan oleh tenaga suria dan angin.
Kementerian Tenaga Persekutuan India menganggarkan permintaan elektrik negara itu akan meningkat hingga 6 peratus setiap tahun selama 10 tahun akan datang.
“Cabaran untuk mengurangkan bahagian batu arang dalam penjanaan elektrik sangat susah kerana awda berdepan dengan sektor yang berkembang dengan cepat,” kata Thomas Spencer, analisis tenaga dari Agensi Tenaga Antarabangsa berpangkalan di Paris.
Spencer menyatakan ekonomi India yang sedang berkembang dengan cepat dan peningkatan penggunaan elektrik per kapita menyebabkan permintaan yang meningkat.
Laporan Global Energy Monitor menempatkan India di antara tujuh negara teratas dunia untuk tenaga yang boleh diperbaharui. Pembinaan 76 gigawatt tenaga matahari dan angin yang dirancang sehingga 2025 akan mengelakkan penggunaan hampir 78 juta tan batu arang setahun dan boleh menyebabkan penjimatan hingga AS$19.5 bilion setahun.
India gagal mencapai sasaran untuk memasang 175 gigawatt tenaga bersih ke dalam pengeluaran kuasa keseluruhan sehingga 2022. Pakar mengatakan untuk mencapai sasaran tenaga yang boleh diperbaharui 2030 dengan memasang jumlah keseluruhan 450 gigawatt, India perlu menjana tenaga bersih pada kadar yang lebih tinggi daripada yang dilakukannya sekarang.
Pemerintah India telah berulang kali mempertahankan penggunaan batu arang dan strategi transisi tenaga elektriknya, dengan menyatakan bahan bakar tersebut diperlukan untuk menjana tenaga negara itu. Coal India Limited, syarikat milik kerajaan, adalah pengeluar batu arang terbesar di dunia. Ia bertanggungjawab sekitar 82 peratus daripada jumlah batu arang yang dihasilkan di India.
Pada November tahun lepas, pemerintah India mengumumkan lelongan batu arang terbesar dengan menawarkan 141 lombong yang tersebar di 12 negeri di negara itu.
Pemerintah menyatakan lombong-lombong tersebut akan membantu mencapai sasaran pengeluaran 1 bilion tan batu arang sebelum April 2024.
Sehingga Disember 2022, syarikat elektrik milik kerajaan India memiliki hutang sebanyak AS$3.32 bilion yang mengakibatkan status kewangan yang buruk sekali gus melemahkan kemampuan mereka untuk melabur dalam projek tenaga bersih, kata penganalisis.
Membina penyimpanan tenaga, mengambil tindakan yang lebih progresif seperti skim kerajaan sebanyak AS$2.6 bilion yang menggalakkan pembuatan komponen yang diperlukan untuk menghasilkan tenaga bersih dan memastikan dasar dilaksanakan itu penting untuk mempercepat pergerakan ke arah tenaga bersih, kata penganalisis.
Pakar mengatakan syarikat elektrik perlu membenarkan lebih banyak pemasangan solar atap walaupun ia mengakibatkan kerugian ekonomi jangka pendek bagi mereka. Melabur dalam memodenkan dan membina projek tenaga angin baharu juga akan dipercepatkan, kata penganalisis.
“Akhirnya di India, sumber tenaga bersih adalah teknologi yang sangat berkesan dari segi kos. Persepsi batu arang adalah murah bakal berubah,” kata Spencer.
Harga sumber tenaga bersih telah menurun dengan drastik. Kos tenaga solar telah jatuh sekitar enam kali ganda dari 12 rupee (14 sen) setiap kilowatt-jam pada tahun 2011 kepada 2.5 rupee (0.03 sen) setiap kilowatt-jam dalam beberapa tahun yang lalu.
Aditya Lolla, penganalisis dasar tenaga di Ember, optimis dengan masa depan tenaga bersih India, dengan mengatakan sumber tenaga bersih berada di ambang peningkatan yang pesat. Beliau percaya penyimpanan bateri untuk sumber tenaga bersih serta bahan api hijau seperti hidrogen hijau akan berkembang pantas.
“Teknologi penyimpanan untuk sumber tenaga bersih serta hidrogen hijau dijangka menjadi berpatutan dalam tahun-tahun akan datang,” kata Lolla. – AP