KUALA LUMPUR – Setiap kali hujan di Chow Kit, Kuala Lumpur (KL), Malaysia, Zuramaisarah Abdullah, 15, akan merasa risau. Tinggal berhampiran pasar Chow Kit, dia akan melihat banyak botol plastik, dedaun dan bekas makanan tersumbat di longkang-longkang selepas hujan lebat.
“Keadaan lebih teruk di sekitar Pasar Chow Kit di mana para peniaga membuang sisa makanan, sayur-sayur dan sampah sarap. Sisa plastik tidak dibuang dengan betul dan selalu dibuang ke sistem saliran.
“Sering kali, botol plastik menghalang saliran di longkang-longkang sehingga menyebabkan air naik dan melimpah ke jalan raya serta kaki lima di sekitar kejiranan saya,” kata Zuramaisarah semasa temu bual di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Risau mengenai kesan alam sekitar, Zuramaisarah dan 37 orang rakan sekelasnya dari Buku Jalanan Chow Kit baru-baru ini menyertai bengkel Sea of Colour Upcycle Art Jam di Muzium Telekom, KL.
Dianjurkan oleh Ekha Langkawi, sebuah syarikat yang mempromosikan kitar semula mampan, dan disokong oleh Yayasan TM, bengkel tersebut menyasarkan untuk memperkasa penuntut dengan pengetahuan kitar semula dan memberikan kesedaran mengenai masa depan yang lebih hijau.
Ekha Langkawi diasaskan oleh Rebecca Yau, 40, mengendalikan bengkel selaras dengan Hari Alam Sekitar Sedunia, yang sambut pada 5 Jun.
“Meskipun terdapat banyak bahan yang boleh dikitar semula, namun saya percaya bahawa botol minuman plastik, yang boleh dikaitkan dengan kumpulan umur pelajar, akan memberi impak ketara terhadap kesedaran mereka dan memberi inspirasi kepada mereka untuk terus mengitar semula.
“Kami memberikan mereka pemahaman bagaimana kami boleh menghasilkan semula dan mengitar semula botol plastik dengan mudah menggunakan peralatan yang ada di rumah seperti gunting, lilin dan cat, serta mengubahnya menjadi barangan hiasan.
“Idea ini adalah inspirasi dan penyelesaian kreatif untuk menyokong kitar semula secara berterusan,” kata Yau, yang berpangkalan di Langkawi, Kedah, yang telah menganjurkan bengkel kitar semula di seluruh Langkawi, Pulau Pinang dan Lembah Kelang kira-kira lima tahun.
Semasa bengkel, para pelajar mula-mula memotong botol menjadi pelbagai bentuk, seperti bintang, bunga dan hidupan marin. Selepas mengilatkan keratan di atas api dan mengecatnya dengan akrilik, kepingan itu dicantumkan menjadi karya seni hiasan gantung yang menarik dan kini dipamerkan di Muzium Telekom.
Secara keseluruhan, mereka telah menukar kira-kira 1,000 botol minuman plastik yang telah dikitar semula, disumbangkan oleh pusat mengitar semula USJ 9 di Subang Jaya.
“Beberapa orang rakan saya memotong keratan berbentuk abjad, sayur-sayuran dan jendela dari botol minuman kitar semula. Saya mendapat inspirasi untuk membuat keratan seperti buah dalam pelbagai bentuk dan saiz,” jelas Zuramaisarah.
Bagi Zuramaisarah dan rakan-rakannya, bengkel tersebut mengajar mereka seni kraf dan menerapkan nilai tanggungjawab untuk melindungi alam semula jadi.
“Saya sangat seronok dengan bengkel ini kerana saya belajar bagaimana menggunakan botol minuman yang boleh diubah menjadi pelbagai benda. Ini adalah cara yang baik untuk menggalakkan pelajar mencipta semula benda mengikut imaginasi masing-masing.
“Saya berharap dapat memperkenalkan konsep kitar semula ini kepada orang ramai dari komuniti saya dan mengurangkan sisa plastik di sekitar Chow Kit. Perlahan-lahan kita mampu menjadikan dunia ini lebih baik,” kongsi Zuramaisarah.
Menerusi bengkel tersebut, Yau menggalakkan para pelajar untuk menyerlahkan bakat seni mereka dan menyelami keaslian pemikiran mereka.
“Kami ingin mereka menjadi lebih ingin tahun, berani untuk mencuba dan meneroka. Kami mahu mereka menunjukkan keseronokan menghasilkan semula sesuatu daripada barangan terpakai.
“Kami juga ingin mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Cult Gallery, galeri seni kontemporari persendirian KL, untuk menaja lima arca yang dihasilkan daripada barangan kitar semula oleh artis dari Sarawak, Mazlan Samawi, yang turut mempamerkan seninya semasa bengkel tersebut.
Selain itu, pameran ini diharap dapat memberi pendedahan yang lebih meluas kepada kanak-kanak tentang seni kitar semula peringkat lebih tinggi.
Yau menyasarkan untuk mendorong kanak-kanak berfikir luar kotak dan memupuk inovasi.
Dengan menukar botol terpakai menjadi sebuah seni, para pelajar dapat belajar bagaimana mengurangkan kesan alam sekitar disebabkan plastik.
“Para pelajar telah menggunakan hampir 1,000 botol semasa bengkel itu, yang mana ia boleh memenuhkan sebuah kolam renang bersaiz kecil.
“Mereka telah menyaksikan banyak plastik yang telah dikitar semula, bagaimana ia boleh diubah menjadi sesuatu yang berguna, dan bagaimana usaha mereka dan kreativiti mereka mampu menyelamatkan alam sekitar demi masa depan yang lebih baik.
“Tindakan kecil ini adalah untuk kesan yang ketara, memperkasa individu untuk membuat perubahan dan menyumbang pada masa depan yang lebih hijau,” jelas Yau. – ANN/The Star