Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menyertai dalam National Association of Travel Agents Singapore (NATAS) Holidays 2024 yang merupakan pameran pelancongan terbesar di Singapura.
Acara yang diadakan di EXPO Singapura bermula hari ini hingga 18 Ogos itu telah dirasmikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin yang mewakili Negara Brunei Darussalam selaku tetamu kehormat.
Turut hadir Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam di Singapura, Haji Ahmad Nasri bin Dato Dr Haji Abdul Latif; dan pegawai dari JKP.
Brunei Darussalam dengan bangga menjadi Rakan Destinasi Rasmi untuk NATAS Holidays 2024, di mana ia menggambarkan hubungan kukuh dan erat di antara Brunei dan Singapura.
Majlis pembukaan NATAS Holidays 2024 dimulakan dengan persembahan budaya yang mempamerkan warisan yang kaya dari Brunei, diikuti dengan ucapan daripada Presiden NATAS dan Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf antara lain menekankan, sebagai rakan destinasi untuk NATAS Holidays 2024, dan berharap Brunei Darussalam akan menjadi sebahagian integral dalam pengalaman Your World and Beyond bagi rakyat Singapura.
Ia merupakan destinasi ideal untuk ketenangan, keaslian budaya, dan pengembaraan yang dipenuhi dengan keindahan alam.
Beliau turut mengajak rakyat Singapura untuk meneroka Brunei Darussalam yang mungkin belum mereka kenali dan merasai ketenangan serta keindahan yang ditawarkan negara Brunei.
Sejurus perasmian ekspo berkenaan, Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Brunei dan NATAS diadakan di Pavilion Brunei Darussalam yang mana MoU tersebut antara lain memperkukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama memacu pelancongan antara Brunei dan juga Singapura ke arah lebih banyak kerjasama di masa akan datang.
Di majlis itu, turut menyaksikan promosi pakej pelancongan oleh ejen-ejen yang berpangkalan di Singapura turut dilancarkan yang mana ia direka khas untuk menawarkan pengalaman unik di Brunei kepada pelancong dari Singapura.
Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Presiden NATAS juga berpeluang untuk melihat lebih dekat Pavilion Brunei Darussalam, di mana mereka melawat terowong eksplorasi dan mengalami paparan VR, dengan tawaran unik Brunei.
Rombongan JKP terdiri daripada ejen pelancongan, wakil perhotelan, dan syarikat penerbangan yang mana bertujuan untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dengan pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan di acara tersebut.