Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Sebanyak 30 unit alat sukatan dan timbangan telah diuji dalam Perkhidmatan Pengujian Mudah Alih kendalian Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (OBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi di Pasar Pantai Jerudong pada 28 Julai lalu.
Menurut kenyataan Unit SDT, hari ini, dalam tempoh tujuh bulan kebelakangan, Unit SDT telah melaksanakan perkhidmatan berkenaan lapan kali yang menumpukan kepada peniaga-peniaga di tamu, pasar dan gerai jualan bermusim bagi memastikan alat sukatan dan timbangan berdaftar, sah serta tepat.
Perkhidmatan pengujian mudah alih itu merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Unit SDT dengan menerapkan kaedah pendekatan mudah dan mesra pelanggan dalam menjaga hak pengguna.
Di samping itu, ia mempromosikan prinsip perniagaan yang telus dalam memastikan sebarang aktiviti sukat dan timbang yang bertujuan untuk perdagangan mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) 1994.
Unit SDT menyatakan individu dan, atau perniagaan yang ingin mendaftarkan alat sukatan dan timbangan boleh melakukannya di pejabat unit berkenaan mengikut tadahan tempat tinggal iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara di Bangunan Pusat Standard Kebangsaan, Kampung Anggerek Desa dan boleh hubungi talian 2334092, Daerah Tutong di Rumah Kelas C, PWD, Jalan Sungai Basong talian 4221516, bagi Daerah Belait di Aras Bawah, Bangunan-bangunan Kerajaan, Jalan Carey, Kuala Belait, talian 3331523 serta bagi Daerah Temburong di Aras Bawah, Jabatan-jabatan kerajaan, talian 5221469.