Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Promosikan produk Sarawak

    KUCHING, 8 Mei – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Sarawak akan menyelaraskan penyertaan di tujuh ekspo perdagangan, kebanyakannya di luar negara pada separuh kedua tahun ini untuk mempamerkan dan mempromosikan pelbagai produk Sarawak.

    Menterinya Datuk Seri Wong Soon Koh berkata kementerian akan mengaturkan penyertaan usahawan tempatan, antara lain pada Pameran Makanan dan Hotel Myanmar 2019 di Yangon dari 5 hingga 7 Jun yang akan menghimpunkan semua pemain utama dalam industri makanan dan hospitaliti negara. Beliau berkata usahawan Sarawak juga akan menyertai pameran Makanan Taipei 2019 di Taiwan, yang akan diadakan dari 19 hingga 22 Jun.

    “Kementerian saya telah menyebarkan butiran pameran perdagangan berkenaan kepada persatuan perniagaan relevan untuk mereka mencalonkan ahli mereka untuk menyertainya.

    “Kami menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan baharu yang bersedia untuk mengeksport dalam menyertai dan mencari peluang di pasaran antarabangsa,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

    Pameran perdagangan antarabangsa yang lain ialah Ekspo Maritim Antarabangsa Pasifik (PACIFIC 2019) di Sydney, Australia dari 8 hingga 10 Oktober.

    Usahawan Sarawak juga akan menyertai ANUGA 2019 di Jerman, pameran perdagangan terbesar dunia yang diadakan sekali setiap dua tahun dari 5 hingga 9 Oktober dan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) di Shanghai pada 5 hingga 10 November. CIIE, menurutnya, merupakan pameran import pertama yang didedikasikan untuk meneroka pasaran China manakala Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB 2019) di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Jun adalah acara perdagangan makanan dan minuman terbesar di negara ini dengan lebih daripada 600 syarikat dari 50 negara.

    Satu lagi pameran perdagangan domestik ialah Pameran Perdagangan Minuman Antarabangsa Malaysia 2019 (IBTN) pada 31 Oktober hingga 2 November di Kuala Lumpur, pameran perdagangan minuman pertama di negara ini untuk mewujudkan kesan mengujakan di satu daripada pasaran paling penting di Asia Tenggara.

    “Dalam ekspo berkenaan, kami berharap untuk mempamerkan dan mempromosikan lebih banyak produk termasuk bahan binaan, kapal maritim, peralatan dan perabot selain daripada makanan dan minuman, produk kayu dan kraf,” kata Wong. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda