Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Proses import produk kosmetik dikemas kini

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Bermula hari ini (1 Oktober), pengimportan produk kosmetik untuk kegunaan peribadi dengan jumlah pernyataan bernilai di bawah $200 melalui Pusat Memproses Bungkusan (MPC), Lapangan Terbang Lama Berakas, melalui Express Air Courier Services atau Express Mail Services (EMS) di bawah Skim De Minimis dan yang dibawa sendiri oleh penumpang melalui pos-pos kawalan tidak lagi memerlukan kebenaran import dari Jabatan Perkhidmatan Farmasi dan tidak juga memerlukan Borang Deklarasi Kastam yang diisytiharkan melalui Brunei Darussalam National Single Window (BDNSW).

    Manakala produk-produk kosmetik bagi kegunaan peribadi yang dibawa masuk melalui ejen kastam atau runner yang berdaftar melalui mana-mana cawangan atau pos kawalan kastam masih memerlukan pengisytiharan Borang Deklarasi Kastam melalui BDNSW.

    Penjelasan mengenai proses pengimportan produk kosmetik untuk kegunaan peribadi yang dikawal di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, dibuat menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

    Kementerian Kesihatan memaklumkan lagi bahawa produk kosmetik yang diimport perlulah juga produk yang tidak tersenarai dalam produk yang dilarang di Negara Brunei Darussalam atau produk yang dikawal penggunaannya.

    Produk-produk kosmetik untuk kegunaan peribadi dengan jumlah pernyataan bernilai $200 ke atas yang diimport melalui BIACC, ejen kastam atau runner yang berdaftar dikehendaki untuk membuat pengisytiharan Borang Deklarasi Kastam melalui BDNSW.

    Sementara itu, bagi mana-mana produk kosmetik bagi kegunaan perniagaan dari mana-mana pos kawalan dan BIACC perlulah diisytiharkan melalui BDNSW.

    Kementerian Kesihatan seterusnya menyatakan bahawa bagi kelancaran proses pengimportan, pengimport perlulah mematuhi peraturan-peraturan yang berjalan pada masa ini, termasuk melantik ejen kastam atau runner yang berdaftar serta maklumat lengkap termasuk dokumen pengenalan produk, label produk dan bahan ramuan.

    Di samping itu, borang BDNSW yang telah diluluskan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) yang dilengkapkan dengan dokumen sokongan perlulah dihadapkan ke Jabatan Perkhidmatan Farmasi yang beralamat, Bahagian Komplians dan Perlesenan (CLS), Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Tingkat 1, Simpang 433, Lebuhraya Rimba, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

    Jabatan Perkhidmatan Farmasi boleh meminta maklumat tambahan pada bila-bila masa jika perlu sekiranya maklumat yang dihadapkan didapati tidak lengkap. Semua barang yang diimport akan di x-ray bagi tujuan keselamatan oleh JKED.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut, boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi melalui e-mel pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau talian 2393298 sambungan 208.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda