KUALA LUMPUR, 13 Feb – Prince of Wales, Putera Charles menegaskan tentang peri pentingnya pendekatan holistik terhadap pembandaran, dengan mengambil kira semua saiz petempatan serta langkah memupuk integrasi sebenar dan berkesan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Baginda bertitah, perkara itu bertujuan memastikan ekosistem, biodiversiti dan pengeluaran makanan penting dapat dipelihara hingga ke masa akan datang.
Baginda juga menyentuh tentang kesukaran memahami tentang populasi bandar di seluruh dunia, yang dijangka meningkat sekali ganda dalam tempoh 40 tahun akan datang.
Titah Baginda, kepesatan pembandaran yang mencemaskan ini mewujudkan cabaran kompleks serta mendesak terhadap manusia dan planet Bumi.
“Bagaimanapun, sekiranya kesejahteraan bandar ingin ditingkatkan, kita mempunyai peluang yang tidak pernah wujud sebelum ini iaitu memberi definisi semula terhadap pembangunan bandar.
“Andai kata ia dirancang dan diurus secara peka, bandar raya boleh menambah nilai sosial, alam sekitar dan komersial dengan cara yang dapat membantu mengatasi perubahan iklim serta memupuk kemakmuran yang bersifat inklusif,” titah Baginda pada upacara penutupan Forum Bandar Sedunia Ke-9 (WUF9) di sini dalam perutusan melalui video selama lima minit.
Titah Baginda lagi: “Cara bekerja seperti biasa bukan merupakan suatu opsyen sekiranya kita ingin mewujudkan perubahan bermakna dan positif untuk jumlah manusia yang semakin bertambah di bandar dan bandar raya, juga bagi generasi akan datang, yang masa depan mereka secara literalnya, terletak di tangan kita.”
Dalam perutusan itu, Putera Charles juga bertitah tentang keperluan mengenal pasti penyelesaian bagi pertumbuhan bandar, yang boleh mewujudkan peluang bagi petempatan lebih kecil di luar bandar melalui teknologi digital agar akses kepada kewangan mikro, kerja sosial dan pendidikan secara dalam talian akan membolehkan wujudnya ekonomi mampan serta diagih secara meluas.
“Menariknya, universiti lama Beta, Cambridge, sedang membuat penyelidikan tentang keseluruhan isu ‘Kampung Bestari’ sebagai sebahagian daripada
Badan Amanah Pendidikan dan Pembangunan Cambridge Malaysia,” titah Baginda.
Putera Charles juga menitahkan selamat maju jaya kepada Datuk Maimunah Mohd Sharif dalam melaksanakan peranan beliau sebagai pengarah eksekutif baharu UN Habitat. – Bernama