Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Proses pengambilan pekerja kurang jelas

    Kepada sidang pengarang, saya ingin menzahirkan beberapa kekecewaan saya baru-baru ini dan saya terbuka untuk menerima segala pendapat atau pandangan daripada pihak pengarang atas permasalahan tersebut.

    Pada hemat penulis, baru-baru ini dalam pencarian pekerjaan di sektor swasta di negara ini, pelbagai cabaran telah dihadapi oleh para pencari kerja khasnya dalam kalangan anak tempatan kitani sendiri.

    Salah satu cabaran ketara ialah ketidakpastian selepas menghadapkan permohonan, di mana kebanyakan pencari kerja tidak mendapat maklum balas mengenai status permohonan mereka.

    Hal ini menimbulkan rasa bimbang dan ketidakjelasan atau tidak telus mengenai kemungkinan penerimaan atau penolakan permohonan itu.

    Sebagai contoh, dalam pengalaman penulis, selepas menghadiri temu duga untuk jawatan porter atau patients care assistant di hospital Tutong yang dikelola oleh salah sebuah syarikat yang ada di negara ini, penulis menantikan surat tawaran sebagaimana yang dijanjikan.

    Gambar Freepik

    Namun, setelah menunggu lebih dari tiga minggu, penulis menghubungi syarikat tersebut hanya untuk diberitahu bahawa tiada surat tawaran bermakna penolakan. Keadaan ini menimbulkan dukacita dan kekecewaan, terutama kerana kurangnya komunikasi yang jelas.

    Beberapa penduduk Brunei mungkin merasakan tekanan akibat kurangnya komunikasi selepas temu duga atau penghantaran permohonan. Ini boleh memberi kesan terhadap pandangan mereka terhadap proses penerimaan kerja. Oleh itu, harapan pelamar ialah pihak swasta dapat memberikan respons yang jelas mengenai status permohonan untuk memudahkan mereka mencari pekerjaan lain tanpa bergantung kepada satu permohonan sahaja.

    Pengalaman ini menunjukkan perlunya langkah-langkah untuk meningkatkan kejelasan atau sikap terbuka dalam proses perekrutan sektor swasta, memberikan peluang kerjaya yang lebih adil.

    Dengan usaha bersama, sektor swasta dapat memberi sumbangan yang lebih efektif kepada pembangunan sumber daya manusia di negara ini. Saya rasa setakat itu lah sahaja perkongsian saya di ruangan ini.

    MAZ

    NASIHAT DANG MP

    Melihat kepada situasi dan masalah kekecewaan yang dikemukakan oleh awang/dayang tadi, beberapa cadangan saya rasakan boleh digunakan bagi mengatasi masalah berkenaan, antaranya adalah:

    1. Tingkat komunikasi efektif: Syarikat perlu lebih proaktif dalam memberikan maklum balas kepada pencari kerja selepas mengemukakan permohonan dan selepas sesi temuduga. Kejelasan mengenai status permohonan perlu diberikan secara teratur.

    2. Sistem pengurusan permohonan: Penting untuk membangunkan sistem yang cekap dalam menguruskan permohonan pekerjaan. Ini membantu pencari kerja untuk mengikuti perkembangan permohonan mereka dan memahami tahap setiap proses.

    3. Tingkat kepastian maklum balas: Syarikat perlu memberikan kepastian mengenai tempoh penantian untuk menerima maklum balas. Ini dapat mengurangkan rasa tidak pasti dan kebimbangan di kalangan pencari kerja.

    4. Latihan pengurusan sumber manusia: Melakukan latihan kepada kakitangan sumber manusia untuk meningkatkan kepekaan mereka dalam memberikan maklum balas yang profesional dan tepat.

    5. Bersifat lebih telus atau lebih terbuka dan jelas: Menyediakan maklumat yang jelas tentang kriteria pemilihan, tempoh proses penerimaan dan apa yang diharapkan daripada para pencari kerja. Ini membantu mencipta suasana yang lebih terbuka dan jelas.

    6. Wujudkan mekanisme aduan atau masalah: Mewujudkan mekanisme yang memudahkan pencari kerja melaporkan sebarang masalah atau kelewatan dalam proses rekrut.

    7. Memberikan maklum balas peningkatan: Apabila menolak sesuatu permohonan, syarikat boleh memberikan maklum balas yang konstruktif untuk membantu pencari
    kerja memahami perkara yang perlu diperbaiki.

    8. Menggalakkan pemohon untuk bertanya: Menggalakkan pencari kerja untuk bertanya secara aktif tentang status permohonan mereka, memberikan ruang untuk maklum balas secara langsung.

    9. Pemantauan prestasi kakitangan HR: Melibatkan penilaian prestasi kakitangan sumber manusia (HR) dalam menguruskan permohonan dan berkomunikasi dengan pencari kerja.

    Dengan melaksanakan cadangan-cadangan ini, diharapkan dapat meningkatkan proses rekrut dalam sektor swasta, mengurangkan ketidakselesaan bagi pihak pencari kerja dan meningkatkan keberkesanan proses secara keseluruhan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda