Proses pengasingan tertakluk kepada kategori risiko

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Proses pengasingan diri mandatori adalah langkah yang perlu dilakukan oleh mereka yang masuk ke negara ini, di mana proses tersebut adalah bergantung kepada kategori risiko sesebuah negara di mana mereka datang.

Berikutan dengan pengumuman mengenai kebenaran kemasukan warga tempatan dan asing ke negara ini dalam sidang media hari ini, negara kini sedang berusaha untuk memudahkan perjalanan penting bagi mereka yang perlu masuk ke negara ini dari luar negara.

“Bergantung kepada kategori risiko sesebuah negara, jika mereka datang dari negara yang berisiko rendah, apa yang diperlukan daripada mereka adalah untuk menjalani ujian swab terlebih dahulu untuk COVID-19 (RT-PCR).

Demikian telah diperjelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sesi soal jawab dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Untuk negara lain yang pada tahap sederhana (moderate) atau berisiko tinggi, mereka diperlukan untuk menetap (di tempat pengasingan) lebih lama, di mana mereka akan diuji bergantung kepada kategori risikonya bagi menghindari sebarang risiko penyebaran virus yang berpotensi kepada masyarakat setempat,” jelas Yang Berhormat Dato.

Ditanya mengenai prosedur ‘Green Lane’ dengan Singapura adakah ia cukup untuk memastikan Brunei selamat daripada COVID-19 memandangkan Singapura masih terdapat kes penyebaran dalam kalangan masyarakat mereka, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa ia adalah perancangan timbal balik dengan Singapura.

“Ini adalah ‘Green Lane’ timbal balik yang kami persetujui iaitu lebih kepada orang dari Singapura yang tiba ke Brunei. Prosesnya, kami masih mahu mereka untuk menjalani ujian swab sebelum mereka berlepas. Ia mesti dilaksanakan dalam masa 72 jam sebelum berlepas.

Dengan rundingan bersama Kementerian Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew percaya bahawa ia mencukupi untuk menguruskan risiko tersebut.