Thursday, May 30, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Proses rumit pulihara dokumen

    IPOH – Proses pemuliharaan dokumen khususnya yang berusia lebih separuh abad memerlukan fokus serta ketelitian tajam bagi mengelakkan kerosakan fizikal dokumen terbabit, agar boleh terus dirujuk oleh pihak berkepentingan dan disimpan sebagai khazanah negara.

    Pembantu Pemuliharaan Kanan Arkib Negara Malaysia (ANM) Perak, Mohd Ridzalman Mohd Rejab, 46, yang berpengalaman lebih 13 tahun dalam bidang tersebut berkata proses itu memerlukan tahap kesabaran tinggi.

    “Banyak daripada dokumen-dokumen lama ini kertasnya mudah rapuh dan ada juga yang telah terkoyak, berlubang dan sebagainya, disebabkan keberadaan di tempat yang tidak sesuai.

    “Jadi, tugas kita adalah untuk kenal pasti terlebih dahulu material dokumen atau surat tersebut sebelum proses pemuliharaan dilakukan dengan sempurna tanpa sebarang kecacatan,” katanya ketika ditemui Bernama di Pejabat ANM Perak.

    Bapa tiga cahaya mata yang berasal dari Gerik itu berkata pada peringkat awal pihaknya akan mengenal pasti sama ada dokumen berkenaan mengandungi unsur asid atau sebaliknya.

    Mohd Ridzalman menunjukkan dokumen yang telah dipulihara (kanan) dan sebelum dipulihara (kiri). – Bernama
    Antara peralatan yang digunakan untuk pemuliharaan dokumen. – Bernama
    Proses nyah asid dokumen sebelum dijemur. – Bernama
    Gambar menunjukkan proses tisu yang melibatkan tampalan tisu khas ‘L2 Tissue’ untuk pengawetan. – Bernama
    Mohd Ridzalman memeriksa lebih 100,000 dokumen-dokumen rasmi jabatan kerajaan yang telah dipulihara di Gedung Penyimpanan, Bangunan ANM Perak, Meru Raya. – Bernama
    Dokumen dijemur setelah melalui proses nyah asid. – Bernama

    “Kalau ada asid, kita akan buang asid itu sama ada melalui proses rendaman atau semburan. Jika rendaman kita akan gunakan larutan magnesium karbonat manakala semburan kita pakai cecair dikenali sebagai Bookkeeper.

    “Kita perlu hilangkan asid itu adalah kerana ia punca kertas mudah reput,” katanya dan menambah langkah itu turut memastikan dakwat ‘tidak mengembang’ pada helaian kertas.

    Selesai proses tersebut, setiap helaian kertas perlu pula melalui proses tisu, jemuran dan mampatan.

    Beliau menjelaskan proses tisu melibatkan tampalan tisu khas L2 Tissue yang mengandungi larutan sejenis sebatian selulosa untuk pengawetan manakala bahagian bawah kertas dilekatkan kertas khas iaitu Japanese Handmade Paper yang mengandungi larutan sama.

    “Selepas itu, baru ke proses jemuran serta mampatan menggunakan mesin mampat yang berfungsi meratakan kertas supaya tidak menggelembung,” katanya.

    Menurut Mohd Ridzalman, sehelai dokumen perlu menjalani proses pemuliharaan selama sekurang-kurangnya empat atau lima hari sebelum boleh disimpan sebagai bahan rujukan yang memenuhi piawaian.

    Beliau berkata proses itu juga adakalanya perlu digabungkan dengan proses penjilidan bagi dokumen berbentuk buku, majalah dan akhbar.

    “Itu yang saya katakan, proses ini rumit sebenarnya dan hampir 90 peratus menggunakan kaedah manual. Jadi ia memerlukan masa untuk menyiapkan sesuatu dokumen.

    “Penjilidan pula biasanya membabitkan kerja menjahit dan menjilid serta meletakkan tajuk bahan arkib. Secara umum, jenis jahitan yang akan dibuat adalah semat tulang, tusuk tepi, tebar, French Sewing, lintang, atas pita dan atas tali kod,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata semua dokumen tersebut ditempatkan di gedung penyimpanan rekod di ANM Perak dan setakat ini lebih 100,000 dokumen membabitkan warta kerajaan negeri, sijil kewarganegaraan dan sebagainya tersimpan rapi di situ.

    “Setiap dokumen yang telah dipulihara dan dijilidkan boleh bertahan atau kekal sempurna dalam tempoh 25 tahun dan ke atas bergantung kepada kaedah penyimpanannya,” kata Mohd Ridzalman.

    Sementara itu, Pengarah ANM Perak, Shahida Mohamad Salleh berkata, Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan di bawah jabatan berkenaan bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja restorasi bahan arkib melibatkan 1,667 agensi kerajaan di Perak.

    Beliau berkata tugas itu amat mustahak bagi memastikan dokumen atau naskhah yang mempunyai kepentingan serta nilai sejarah dapat disimpan dan menjadi rujukan penyelidik serta generasi akan datang.

    “Antara naskhah penting yang tersimpan rapi di sini adalah seperti surat khabar Malay Mail yang diterbitkan pada 31 Ogos 1957, sijil kerakyatan bagi kaum Cina dan India sejak tahun 1950an, koleksi Surat Persendirian (SP) bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria serta Raja Billah yang dikenali sebagai kerabat Diraja Mandailing,” katanya.

    Shahida berkata pihaknya juga sentiasa melakukan lawatan, pameran serta ceramah berkaitan kepentingan memperkasa pemeliharaan dan pemuliharaan dokumen terutamanya di jabatan kerajaan.

    “Dalam semua sesi itu kita ada terangkan dan minta setiap daripada jabatan itu untuk buat pemindahan rekod penting terutama sebelum tahun 1948 ke ANM Perak untuk proses pemeliharaan dan pemuliharaan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Suhu Delhi cecah paras tertinggi di India

    NEW DELHI, 29 MEI – Suhu di ibu negara India melonjak ke paras tertinggi iaitu 52.3 darjah Celsius (C) hari ini, menurut data dari...