JAKARTA, 21 Feb – Seorang remaja mangsa tsunami Indonesia dan protege Cristiano Ronaldo telah dipaksa berehat seketika daripada kerjaya bola sepak selepas mengalami kecederaan lutut, katanya kepada AFP semalam.
Martunis, 19, kadang-kadang digambarkan sebagai ‘anak angkat’ Ronaldo berkata, dia meninggalkan PS TNI yang berpangkalan di Pulau Jawa untuk kembali ke wilayah kelahirannya di Aceh.
Martunis yang berusia tujuh tahun semasa tragedi tsunami 2004 melanda Aceh, didapati memakai baju Portugal di pantai selepas bencana berkenaan.
Imej kanak-kanak itu, yang mana adik-beradik dan ibunya terbunuh dalam bencana itu, mendorong Ronaldo membuat perjalanan ke Aceh untuk bertemu dengannya pada 2005.
Pasangan itu telah bertemu beberapa kali sejak itu dan pada 2015 Martunis menyertai akademi Sporting Lisbon di mana kerjaya superstar Real Madrid itu bermula.

Sekembalinya ke Indonesia tahun lepas, Martunis, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya diketahui dengan satu nama, menyertai pasukan B-21 PS TNI yang bermain dalam kejohanan bola sepak utama di negara ini.
Tetapi selepas mengalami kecederaan Disember lalu, beliau memberitahu AFP: “Buat masa ini saya hanya melakukan latihan ringan.”
Dalam satu posting di laman Facebook beliau, Martunis menambah: “Saya akan kembali ke Aceh supaya lutut saya boleh pulih dan kembali ke beraksi jika segala-galanya kembali seperti biasa.” – AFP