Wednesday, January 15, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Protes Bangladesh sebabkan hampir 100 maut, ratusan cedera

    DHAKA, 5 OGOS – Hampir 100 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera kelmarin ketika protes antikerajaan baharu melanda Bangladesh, dengan penunjuk perasaan menggesa perdana menteri meletak jawatan sementara perdana menteri pula menuduh mereka ‘sabotaj’.

    Talian internet juga turut diputuskan kerajaan dalam usaha untuk memadamkan pergolakan.

    Akhbar harian terkemuka negara itu, Prothom Alo berkata sekurang-kurangnya 95 orang termasuk sekurang-kurangnya 14 pegawai polis maut dalam keganasan itu. Saluran berita Channel 24 pula melaporkan sekurang-kurangnya 85 kematian.

    Tentera mengumumkan bahawa perintah berkurung baru berkuat kuasa petang kelmarin untuk tempoh yang tidak ditentukan termasuk di ibu negara, Dhaka dan ibu pejabat bahagian dan daerah lain. Kerajaan sebelum ini telah mengenakan perintah berkurung dengan beberapa pengecualian di Dhaka dan tempat lain.

    Penunjuk perasaan menuntut Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan berikutan protes bulan lalu yang bermula dengan pelajar menyeru supaya sistem kuota dihentikan untuk pekerjaan kerajaan. Demonstrasi itu meningkat kepada keganasan yang menyebabkan lebih 200 orang terbunuh.

    Ketika keganasan yang diperbaharui melanda, Hasina berkata penunjuk perasaan yang terlibat dalam ‘sabotaj’ dan pemusnahan bukan lagi pelajar tetapi penjenayah dan beliau berkata rakyat harus berurusan dengan mereka dengan ‘tangan besi’.

    Parti pemerintah Liga Awami berkata, tuntutan untuk Hasina meletak jawatan menunjukkan bahawa protes telah diambil alih oleh pembangkang utama Parti Nasionalis Bangladesh dan parti Jamaat-e-Islami yang kini diharamkan.

    Kelmarin juga, kerajaan mengumumkan cuti dari Isnin hingga Rabu. Mahkamah terpaksa ditutup. Perkhidmatan internet mudah alih telah diputuskan, dan Facebook serta aplikasi pemesejan, termasuk WhatsApp, tidak dapat diakses. Menteri Muda Penerangan dan Penyiaran, Mohammad Ali Arafat berkata perkhidmatan itu diputuskan untuk membantu mencegah keganasan.

    Sekurang-kurangnya 11,000 orang telah ditangkap dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Pergolakan itu juga mengakibatkan penutupan sekolah dan universiti di seluruh negara, dan pihak berkuasa pada satu ketika mengenakan perintah berkurung dan tembak sekiranya ingkar.

    Penunjuk perasaan menggesa untuk ‘tidak bekerjasama’ di mana orang ramai tidak membayar cukai atau bil utiliti dan tidak hadir bekerja pada hari Ahad  iaitu hari bekerja di Bangladesh. Pejabat, bank dan kilang dibuka tetapi penduduk Dhaka dan bandar lain menghadapi cabaran untuk mendapatkan pekerjaan mereka. – AP

    Kelihatan kenderaan yang dibakar oleh penunjuk perasaan di Hospital Universiti Perubatan Sheikh Mujib Bangabandhu semasa protes di seluruh negara baru-baru ini di Dhaka, Bangladesh kelmarin. –  AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda