THE HAGUE, 19 MEI – Puluhan ribu orang berhimpun di pusat bandar The Hague, Belanda kelmarin bagi menyertai demonstrasi besar-besaran membantah tindakan ketenteraan Israel di Gaza, lapor Xinhua.
Para penunjuk perasaan menggesa kerajaan Belanda mengambil tindakan lebih tegas terhadap Israel dan mendesak agar keganasan di wilayah yang terkepung itu segera dihentikan.
Penganjur menganggarkan lebih 100,000 orang menyertai perarakan itu.
Para peserta berarak dari kawasan Malieveld menuju ke Istana Keamanan, lokasi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Demonstrasi itu dianjurkan oleh beberapa pertubuhan hak asasi manusia dan bantuan kemanusiaan bersama kumpulan pro-Palestin.
Ramai peserta memakai pakaian merah sebagai simbolik untuk menyatakan had toleransi terhadap kekejaman Israel di samping menggesa kerajaan Belanda supaya menetapkan pendirian tegas terhadap tindakan Israel.
Protes berakhir secara aman pada sebelah petang dan polis Belanda mengesahkan tiada sebarang insiden yang tidak diingini dilaporkan. – Bernama
