Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Protes di hk kembali tegang

    HONG KONG, 1 DIS – Polis melepaskan gas pemedih mata di Hong Kong hari ini selepas hampir 10 ribu penunjuk perasaan yang menggunakan pakaian berwarna hitam mula berhimpun kembali di jalan-jalan, seminggu selepas calon pro-demokrasi meraih kemenangan pilihan raya tempatan.

    Perhimpunan utama hari ini diadakan di kawasan kejiranan Tsim Sha Tsui yang merupakan salah sebuah daripada tiga tempat perhimpunan, di mana penunjuk perasaan berusaha untuk terus menekan kerajaan setelah pilihan raya majlis daerah 24 November.

    “Kerajaan masih tidak mendengarkan suara kami, jadi kami akan meneruskan protes ini, kami tidak akan berhenti,” kata seorang pelajar berusia 20 tahun yang hanya memberikan nama keluarganya, Chen.

    “Sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku, tetapi rakyat masih marah dan mahu perubahan.”

    Perhimpunan itu bermula dengan aman, dengan orang ramai yang datang mula berhimpun selepas tiba dengan menaiki feri dan kereta api.

    Sementara itu terdapat juga penunjuk perasaan termasuk keluarga bersama anak-anak mereka di sini, berarak membantah penggunaan gas pemedih mata oleh polis, ketika wilayah hab kewangan Asia itu meneruskan bantahan anti-kerajaan selepas seminggu keadaan tenang.

    Penunjuk perasaan membawa belon kuning dan mengibarkan kain rentang bertulis ‘Hapus gas pemedih mata, selamatkan anak-anak kita’ sambil berarak ke kawasan tengah bandar raya menuju ke ibu pejabat kerajaan.

    Tiga perarakan dirancang hari ini dan semuanya sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa. Semalam, pelajar sekolah menengah dan pesara bergabung mengadakan tunjuk perasaan untuk membantah apa yang disifatkan sebagai keganasan polis dan penahanan menyalahi undang-undang.

    Kebanyakan mereka memegang payung berlindung daripada sinaran matahari, sambil menolak anak masing-masing, manakala seorang lelaki berkerusi roda dengan belon terikat di kerusi turut berarak. – AFP

    Anggota keselamatan ketika menyekat jalan ketika orang ramai mula berhimpun untuk mengadakan protes dari daerah Tsim Sha Tsui ke Hung Hom, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda