KARACHI, 11 SEPT – Jumlah korban akibat protes ganas di Nepal sejak awal minggu ini meningkat kepada 34 orang, manakala 1,368 lagi cedera, lapor media tempatan hari ini.
Menurut laporan OnlineKhabar yang dipetik Anadolu Ajansi (AA), Kementerian Kesihatan dan Penduduk mengesahkan angka itu.
Daripada jumlah yang cedera, 949 orang telah dibenarkan keluar hospital, kata jurucakap kementerian Dr Prakash Budhathoki sambil menambah bahawa angka itu berdasarkan data yang dikumpul dari seluruh negara.
Nepal menyaksikan perubahan dramatik sejak Isnin selepas protes tercetus berikutan larangan terhadap platform media sosial.
Golongan belia yang dikenali sebagai penyokong ‘Gen Z’ melancarkan gerakan lebih meluas menentang dakwaan rasuah sehingga menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri KP Sharma Oli.
Ketika ini, perbincangan sedang dijalankan untuk menubuhkan pentadbiran sementara.
Tentera telah mengambil alih kawalan keselamatan selepas Oli meletakkan jawatan.
Tentera Nepal dikerah ke seluruh negara dengan perintah berkurung bagi memulihkan ketenteraman. Kira-kira dua orang terbunuh awal pagi ini, apabila tentera melepaskan tembakan untuk menggagalkan cubaan melarikan diri dari penjara. – Bernama


