PARIS, 9 MAC – Kesatuan buruh Perancis berkata anggota yang bekerja dalam sektor tenaga hari ini telah memutuskan kuasa elektrik ke tapak pembangunan Perkampungan Olimpik untuk Sukan Olimpik Perancis 2024, serta stadium utama, Stade de France.
Bekalan gas dan elektrik dipotong di tapak tersebut serta pusat data, kata Sebastien
Menesplier, setiausaha agung cawangan tenaga kesatuan CGT, ketika kesatuan buruh meningkatkan protes untuk menggagalkan rancangan pembaharuan pencen kerajaan yang kontroversi.
Kesatuan itu meneruskan tunjuk perasaan untuk memaksa kerajaan membatalkan rancangan itu, hingga mengakibatkan pengangkutan dan perkhidmatan awam lain terganggu di Perancis untuk hari ketiga berturut-turut.
Kerajaan di bawah Presiden Emmanuel Macron berkata, meningkatkan umur persaraan daripada 62 kepada 64 tahun dan memperketatkan keperluan untuk pencen penuh adalah penting untuk memastikan sistem itu tidak mengalami defisit.
“Berdepan dengan kerajaan yang enggan berganjak, kami juga enggan berganjak,” kata Menesplier.
“Saya merayu kepada tanggungjawab kerajaan dan presiden republik itu untuk tarik balik pembaharuan, dan juruelektrik dan pekerja gas akan dapat kembali bekerja untuk perkhidmatan awam dan kepentingan umum,” tambahnya.
Protes dalam sektor tenaga sejak Selasa itu telah melakukan pemadaman janakuasa, mengakibatkan kegelapan di beberapa tempat di seluruh negara.
Jurucakap kerajaan, Olivier Veran kelmarin mengecam pemotongan kuasa elektrik walaupun menghormati tindakan protes tersebut dilakukan di jalanan. – AFP
