SEOUL, 22 NOV – Seoul Metro, pengendali perkhidmatan tren bawah tanah bagi laluan 1 hingga 8 di Seoul, Korea Selatan, memaklumkan hari ini yang 27 tren kendaliannya mengalami kelewatan melebihi 20 minit pada hari sebelumnya, iaitu hari kedua mogok perlahan oleh kesatuan pekerjanya, lapor agensi berita Yonhap.
Daripada 3,189 tren bawah tanah yang beroperasi semalam, kadar ketepatan masanya adalah 99.1 peratus, menurut pengendali itu sambil menjelaskan, undang-undang semasa mentakrifkan tren yang lewat sebagai tren yang mengalami kelewatan melebihi 20 minit.
Berbanding hari pertama protes ‘kerja ikut peraturan’ oleh kesatuan pekerja, jumlah tren yang lewat berkurangan sebanyak 98, manakala kadar ketepatan masa meningkat sebanyak 3.1 peratus, katanya.
Kesatuan pekerja terbesar daripada tiga kesatuan buruh di Seoul Metro mengancam untuk melancarkan mogok umum pada 6 Disember sekiranya tuntutan mereka untuk kenaikan gaji dan pengambilan pekerja tidak dipenuhi.
Mogok yang dirancang itu, bersama ancaman mogok oleh pekerja kesatuan KTX dan pengendali tren biasa, KORAIL, dijangka menyebabkan gangguan besar terhadap perkhidmatan rel di seluruh negara pada awal bulan depan.
Kesatuan Pekerja Kereta Api Korea juga mengancam melancarkan mogok umum tanpa had bermula 5 Disember bagi menuntut kenaikan gaji dan penambahan tenaga kerja. – Bernama