Protes tangani perubahan iklim

CANBERRA, AUSTRALIA, 20 SEPT – Seramai 10,000 pembantah berkumpul hari ini dalam perhimpunan terbesar di Australia menjelang persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York yang bermula hari ini, dengan para pembantah menyeru kepada tindakan untuk menangani perubahan iklim.

Sebahagian daripada perhimpunan besar pertama itu dalam apa yang dipanggil sebagai ‘serangan iklim dunia’ diadakan di bandar terbesar di Australia, Sydney dan ibu kota kebangsaan, Canberra. Para pembantah warga Australia menyeru kepada masyarakat negara itu, sebuah negara yang merupakan pengeluar arang dan gas cecair asli, untuk melakukan lebih banyak tindakan bagi mengurangkan emisi gas rumah hijau.

Semasa protes tersebut, para pembantah telah berhimpun di 11 pekan dan bandar di seluruh Australia hari ini, dengan pihak penganjur menyeru dan meminta kepada kerajaan dan ahli perniagaan untuk menyasarkan emisi karbon sehingga ke tahap sifar menjelang tahun 2030.

Beberapa bantahan turut dirancang hari ini di beberapa buah bandar di selurh dunia. Di Amerika Syarikat, lebih daripada 800 perhimpunan dirancang hari ini, sementara di Jerman, lebih 400 perhimpunan dijangka akan diadakan.

Pada Mac lalu, bantahan seumpamanya telah diadakan di seluruh dunia dengan penyertaan ribuan peserta. Bantahan tersebut sebahagiannya diinspirasikan daripada aktiviti remaja Sweden, Greta Thunberg, yang telah mengetuai perhimpunan protes dalam apa yang dinamakannya sebagai ‘Fridays For Future’, beberapa tahun yang lalu, menyeru kepada pemimpin dunia untuk meningkatkan peranan dan usaha mereka bagi menangani perubahan iklim. – AFP

Sebahagian daripada orang ramai yang menyertai perhimpunan berkenaan di Sydney, kelmarin. – AFP