SRINAGAR, 24 MAC – Ribuan orang di Ladakh telah mengadakan protes selama lebih dua minggu dalam cuaca amat sejuk, menuntut peruntukan berperlembagaan dari kerajaan India untuk melindungi ekologi mudah terjejas wilayah mereka dan autonomi berhubung keputusan tanah dan pertanian.
Ladakh telah menghadapi pertelingkahan wilayah dan mengalami kesan perubahan iklim yang mana perubahan cuaca telah mengubah kehidupan penduduk kampung melalui banjir, tanah runtuh dan kemarau.
Aktivis iklim terkemuka yang juga seorang jurutera di Institut Alternatif Himalaya Ladakh, Sonam Wangchuk menyertai demonstrasi di bandar Leh dengan berpuasa dan bertahan hanya dengan garam dan air dalam suhu di bawah paras beku sejak protes bermula pada 6 Mac lalu.
“Kita telah pun menghadapi bencana iklim dan glasier serta gunung ini akan musnah sekiranya tiada pengawasan terhadap pembangunan industri yang tidak terkawal dan pergerakan ketenteraan,” beritahu Wangchuk kepada Associated Press kelmarin.
Ribuan glasier di Ladakh, yang diberi nama jolokan ‘menara air dunia’ di wilayah itu, sedang surut pada kadar yang membimbangkan dan mengancam bekalan air bagi jutaan orang.

Pencairan itu telah diburukkan oleh peningkatan dalam pencemaran tempatan akibat pergolakan ketenteraan antara India dan China sejak 2020.
Dia juga mengatakan Ladakh amat memerlukan perlindungan ekologi kerana “ini bukan hanya bencana tempatan tetapi juga antarabangsa kerana gunung-gunung ini membentuk sebahagian daripada Himalaya Besar yang dihubungkan kepada lebih dua bilion orang dan beberapa negara.”
Wangchuk mengatakan penduduk nomad Ladakh juga kehilangan padang ragut utama kepada rancangan industri besar India dan pencerobohan China yang mana askar-askar China telah menawan beberapa padang ragut dan menghalang mereka daripada memberi makan kepada ternakan mereka.
Mereka merancang untuk bergerak ke sempadan China pada hujung bulan ini untuk cuba menghalang usaha Beijing untuk merampas tanah di Ladakh.
Pada Ogos 2019, Ladakh dipisahkan dari Kashmir yang dikawal India setelah New Delhi melucutkan status taraf negara dan autonomi separa wilayah itu. – AP

