Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Protokol permudah urusan eksport dimeterai

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Dalam usaha untuk memudahkan eksport lebih banyak produk akuatik Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, dua protokol telah dimeterai antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, baru-baru ini.

    Majlis Penandatanganan Perjanjian Protokol mengenai Protokol Pemeriksaan, Kuarantin dan Keperluan Sanitari Veterinar untuk Produk Akuatik Liar yang Akan Dieksport dari Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, dan Protokol mengenai Pemeriksaan, Kuarantin dan Keperluan Sanitari Veterinar untuk Produk Akuatik Kultur untuk Dieksport dari Brunei ke Republik Rakyat China berkenaan telah diadakan di Beijing, Republik Rakyat China.
    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, menandatangani kedua-dua protokol bagi wakil kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin manakala bagi pihak Republik Rakyat China ialah Menteri dan Setiausaha Jawatankuasa CPC, Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC), Tuan Yang Terutama Yu Jianhua.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, Tuan Yang Tertuama Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdu’r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir; Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi dan Pemangku Pengarah Perikanan, Hajah Wanidawati binti Haji Tamat.

    Penandatanganan protokol berkenaan adalah keperluan untuk eksport produk akuatik dari Brunei ke China.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf dan TYT Yu Jianhua bergambar bersama perjanjian yang telah dimeterai di Beijing, Republik Rakyat China, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERIKANAN, KSSUP

    Oleh itu, objektif utama protokol berkenaan adalah untuk memudahkan eksport lebih banyak produk akuatik dari Brunei ke China serta bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang biosekuriti, kuarantin, kebersihan dan pemeriksaan kesihatan produk akuatik yang akan dieksport ke China di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan sebagai Pihak Berkuasa Kompeten untuk eksport hasil perikanan dari Brunei dan GACC.

    Dengan pemeteraian protokol berkenaan, terdapat sebanyak 134 produk akuatik dibenarkan yang baru diluluskan untuk dieksport dari Brunei ke China daripada 42 produk akuatik yang diluluskan pada masa ini, menjadikan jumlah keseluruhan 177 produk pertanian dan perikanan.

    Pada 2022, China telah direkodkan sebagai rakan dagangan import ketiga terbesar bagi Brunei bernilai AS$93.3 juta atau $125.4 juta, menyumbang 14.2 peratus daripada jumlah import.

    Sementara itu, bagi eksport, China direkodkan sebagai destinasi eksport keempat terbesar bagi Brunei bernilai AS$120.25 juta atau $161.6 juta, menyumbang 10.2 peratus daripada jumlah eksport.

    Dari 2019 hingga 2023, 3,556 MT produk perikanan dan 45 MT musk melon telah dieksport ke China.

    Selain itu, protokol juga menyediakan platform untuk pertukaran maklumat mengenai keselamatan produk melalui pemantauan sisa kimia, penyakit dan pengawasan mikroorganisma di ladang akuakultur, loji pemprosesan dan premis penyimpanan sejuk.

    Protokol berkenaan akan menyumbang kepada peningkatan jumlah eksport produk perikanan dari Brunei untuk memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda