Proton catat jualan tertinggi

KUALA LUMPUR, 4 OGOS – Proton Holdings Bhd menjual 13,216 unit kenderaan pada Julai 2020 iaitu jumlah jualan bulanan tertinggi sejak Jun 2012.

Empat model mencatat jualan tertinggi dalam segmen masing-masing pada Julai yang menunjukkan jualan keseluruhan meningkat 37.3 peratus (13,216 berbanding 9,623) berbanding Jun 2020 dan 45.7 peratus (13,216 berbanding 9,072) berbanding bulan yang sama pada 2019.

Proton Saga sekali lagi mencatat jualan tertinggi dan menjadi pilihan utama dalam pasaran sedan segmen A dengan 5,421 unit dijual pada Julai.

Sebanyak 3,087 unit terjual bagi SUV segmen-C Proton iaitu X70, diikuti sedan segmen B, Persona (3,043 unit) dan MPV segmen C, Exora (792 unit). Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Roslan Abdullah berkata wujud kesan positif dalam aspek perniagaan lain yang turut membantu dalam peningkatan jualan.

“Sebagai contoh, Proton Commerce, penyedia pembiayaan kenderaan dalaman syarikat mencatat peningkatan jumlah pinjaman sebanyak 100 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Untuk Ogos, Proton akan terus berusaha memberi tawaran menarik kepada pasaran dan merangsang jualan sebagai persiapan untuk memperkenalkan lebih banyak model pada akhir tahun ini,” kata Roslan dalam kenyataan hari ini.

Menurut pengeluar kereta tempatan itu, jualan kereta di Malaysia terus meningkat pada Julai berikutan gabungan insentif jualan tanpa cukai dan permintaan pengguna yang mendorong kenaikan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tertinggi dalam tempoh 13 bulan. – Bernama