Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Proton mulakan siri pratonton SUV X70

    KUALA LUMPUR, 24 Sept – Kenderaan Utiliti Sport (SUV) pertama Proton, X70 telah membuat penampilan awamnya melalui program pratonton eksklusif yang dianjurkan oleh Proton Edar Sdn Bhd pada 19-23 Sept lepas di Petaling Jaya.

    “Pelanggan, eksekutif-eksekutif tahap C daripada syarikat-syarikat terkemuka serta bakal pembeli korporat dijemput untuk melihat reka bentuk luaran dan hiasan dalaman SUV ini, yang merupakan produk pertama Proton dalam segmen pasaran yang sedang pesat berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Abdul Rashid Musa berkata sejak tempahan dibuka pada 8 Sept, maklum balas daripada pelanggan amat menggalakkan.

    “X70 telah mencapai tingkat terbaharu bagi Proton dengan reka bentuk moden dan canggih, jadi kita akan menganjurkan pratonton bagi membolehkan pelanggan melihat dengan lebih dekat supaya mereka dapat memahami tahap kejuruteraan serta merasai sendiri bahan-bahan premium yang digunakan dalam SUV ini,” katanya.

    Sesi pratonton pelanggan eksklusif yang bermula pada 19 Sept lepas adalah yang pertama dalam siri acara yang merangkumi tujuh bandar Malaysia, ia akan berlangsung sehingga 4 Nov.

    Sesi tersebut akan diikuti dengan acara di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kuantan, Ipoh dan Kota Kinabalu.

    Proton Holdings Bhd dimiliki sebanyak 50.1 peratus oleh DRB-HICOM Bhd dan 49.9 peratus lagi oleh Zhejiang Geely Holding Co.Ltd. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda