Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PRU15: Undi pos bagi tentera, proses biasa, tiada isu

    KUCHING, 14 NOV – Pengeluaran kertas undi pos Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bermula 7 November lepas bagi mereka yang didaftarkan sebagai pengundi pos adalah perkara biasa dalam semua pilihan raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Menerusi kenyataannya hari ini, beliau berkata proses seperti itu juga melibatkan anggota tentera yang berdaftar sebagai pengundi pos.

    Oleh itu, katanya tiada isu yang timbul mengenai hal itu dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya juga telah memaklumkan mengenai tarikh pengeluaran undi pos kepada semua ejen calon.

    “Terpulang kepada individu yang berdaftar dan menerima kertas undi pos. Apa yang penting, kertas undi pos perlu sampai ke pejabat Pegawai Pengurus berkaitan sebelum 5 petang pada hari pengundian 19 November menurut kenyataan itu.

    Wan Junaidi berkata demikian bagi menjawab dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini kononnya anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi bagi PRU15.

    Semalam, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata pengundian bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didaftarkan sebagai pengundi pos telah bermula 7 November lepas sehingga 5 petang Sabtu ini.

    Affendi juga berkata seramai 146,737 anggota ATM dan pasangan mereka akan mengundi awal esok dengan 153 pusat mengundi awal ATM diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. – Bernama

    Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Pegawai Parlimen Port Dickson, Khairy Maamor (tiga, kanan) ketika meninjau persiapan proses pengundian awal sempena PRU15 di Dewan Serbaguna Kem Segenting, hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda