SINGAPURA, 25 APRIL – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong memulakan kempen pilihan raya Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan menyeru rakyat Singapura agar kekal bersatu dan tidak membenarkan kuasa luar atau perbezaan pandangan terhadap isu global memecahbelahkan negara dalam kehangatan kempen pilihan raya.
Setiausaha Agung PAP itu memberi amaran bahawa tempoh pilihan raya lazimnya menjadi ruang subur untuk ketegangan disemarakkan dan jika tidak ditangani secara berhemah, ia boleh dieksploitasi sehingga menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Ingat, selepas pilihan raya selesai dan semua keterujaan mereda, pertandingan sebenar bukan antara PAP dan pembangkang. Ia adalah Singapura menentang dunia. Titik merah kecil kita menghadapi dunia yang berbahaya dan bergolak,” katanya dalam ucapan selama sejam di Stadium Woodlands.
Itu merupakan perhimpunan fizikal pertama bagi pilihan raya umum di Singapura sejak 2015, susulan larangan terhadap perhimpunan seumpama itu semasa PRU2020 akibat pandemik COVID-19.
Wong turut menggesa semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) agar menjunjung prinsip politik berbilang kaum dan tidak memainkan isu sensitif.

Beliau menegaskan bahawa walaupun wujud perbezaan politik, semua pihak adalah ‘pertamanya’ rakyat Singapura dan ‘diutamakan’.
“Pastikan politik berhenti di hujung perairan. Maksudnya, apabila melibatkan kepentingan negara, kedaulatan, keselamatan dan kedudukan kita di persada dunia – jangan jadikan politik dalaman sebagai punca perpecahan. Perpaduan mesti dikekalkan,” katanya.
Menyentuh isu ekonomi, Wong menyeru pengundi agar menyokong PAP demi meneruskan ‘keajaiban Singapura’ di tengah ketidaktentuan global, termasuk tarif Amerika Syarikat (AS) dan perang dagang.
Beliau berkata PAP tidak memilih untuk meremehkan risiko, walaupun ada pihak pembangkang menuduh parti itu menakut-nakutkan rakyat dan membesar-besarkan cabaran.
Wong berkata bahawa ketidaktentuan akibat tarif itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti perniagaan yang sudah mula merasai kesannya. – Bernama