Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PS5 Pro: Grafik konsol terbaik pernah ditawarkan

    Oleh Sean Booker –

    Dalam seminggu menguji PlayStation 5 Pro, saya mendapati ia memberikan visual lebih hebat berbanding PS5 asal – namun harganya agak mahal.

    PlayStation 5 mula diperkenalkan pada November 2020, menandakan permulaan generasi baharu konsol permainan. Tiga tahun kemudian muncul model Slim pada 2023 dengan prestasi sama tetapi storan sedikit lebih besar. Kini, empat tahun selepas pelancaran awal, Sony memperkenalkan peningkatan sebenar pertama dengan PlayStation 5 Pro.

    Dijual bermula 7 November pada harga AS$700, PS5 Pro menjanjikan grafik yang lebih berkualiti serta ray tracing yang lebih baik, pada kadar bingkai yang jauh lebih lancar dan stabil berbanding model asal. Ia merupakan konsol permainan paling berkuasa di pasaran ketika ini – dan juga yang paling mahal.

    Namun begitu, harga ini belum termasuk tapak menegak (AS$30, dijual berasingan).

    Malah, jika awda mahu bermain permainan PS5 dalam bentuk cakera fizikal, awda perlu membeli pemacu cakera luaran Sony yang berharga AS$80.

    Dengan penutup dibuka, awda boleh melihat kipas dan panel SSD. – Sean Booker/CNET
    Berbanding PS5 Slim (kiri), PS5 Pro tidak jauh lebih besar. – Sean Booker/CNET
    Lego Horizon Adventures kelihatan menakjubkan di PS5 Pro. – Sean Booker/CNET
    PlayStation 5 Pro memberikan grafik yang lebih baik dan kadar bingkai yang lebih lancar berbanding PS5 standard dalam ujian saya. – Sean Booker/CNET
    Pandangan dekat sirip yang menyerupai jalur lumba itu. – Sean Booker/CNET

    Dibandingkan dengan PS5 biasa, PS5 Pro lebih mahal sekitar AS$200 hingga AS$300.

    Membelinya pada hari pertama ibarat menaik taraf pemproses grafik komputer untuk menikmati visual lebih baik. Tetapi adakah ia benar-benar berbaloi?

    Saya mengujinya dengan beberapa permainan seperti Horizon Zero Dawn Remastered, Spider-Man 2 dan Ratchet and Clank: Rift Apart. Hasilnya – peningkatan grafik tanpa menjejaskan kelancaran. Gabungan ini menjadikan PS5 Pro konsol permainan dengan prestasi terbaik yang pernah saya cuba. Ya, harganya mahal, tetapi untuk pemain yang mahukan pengalaman terbaik, ia mungkin pelaburan yang berbaloi.

    REKAAN PS5 PRO MASIH KEKAL FAMILIAR, KINI DENGAN ‘GARIS LUMBA’

    PS5 Pro banyak mengambil inspirasi daripada reka bentuk model Slim, yang lebih kecil tetapi mengekalkan bentuk ‘plastik mekar’ PS5 asal. Ia menggunakan rekaan empat panel luar yang sama, tetapi saiz panelnya sedikit berbeza. Ini bermakna, sebarang panel berwarna yang dibeli untuk model lama tidak boleh dipasang pada versi baharu ini.

    PS5 Pro hanya ditawarkan dalam satu varian – versi digital. Berbeza dengan model lama yang menawarkan pilihan cakera fizikal dengan bayaran tambahan, awda kini perlu membeli pemacu cakera luaran (AS$80) jika mahukannya. Namun begitu, jika awda sudah memiliki pemacu cakera Slim, ia boleh digunakan pada PS5 Pro.

    Saiz PS5 Pro juga sedikit lebih besar, terletak antara model asal dan Slim. Kini, terdapat sirip bergaris pada sisi yang menyerupai jalur lumba, yang membantu pengudaraan. Konsol ini boleh diletakkan secara melintang atau menegak – tetapi untuk posisi menegak, awda memerlukan tapak berharga AS$30. Seperti biasa, awda masih boleh memasang pemacu SSD tambahan, tetapi kali ini storan dalaman telah digandakan kepada 2TB. Ia juga menyokong Wi-Fi 7, standard terkini sambungan tanpa wayar.

    PENINGKATAN KUASA GRAFIK, RAY TRACING, DAN PENSKALAAN AI

    Terdapat tiga komponen utama yang menjadikan prestasi PS5 Pro jauh lebih baik:

    1. GPU Dinaik Taraf

    Sony menyatakan PS5 Pro dilengkapi 67 peratus lebih banyak unit pemprosesan dan memori 28 peratus lebih pantas berbanding PS5 biasa. Ini membolehkannya memproses permainan 45 peratus lebih laju.

    2. Ray Tracing Lebih Canggih

    Teknologi ini menjadikan pantulan dan pencahayaan dalam permainan jauh lebih realistik. PS5 Pro mampu memproses ray tracing dua hingga tiga kali lebih pantas daripada model asal.

    3. Penskalaan AI (PlayStation Spectral Super Resolution)

    Teknologi berasaskan pembelajaran mesin ini meningkatkan ketajaman imej dan menjadikan permainan lebih tajam pada resolusi tinggi – dan ia berfungsi secara automatik.

    BAGAIMANA PERMAINAN KELIHATAN DI PS5 PRO?

    Pada PS5 biasa, pemain selalunya diberi dua pilihan grafik: mod Prestasi (resolusi lebih rendah, kadar bingkai 60 fps), atau mod Resolusi / Fidelity (resolusi 4K tetapi hanya 30 fps). Kini, dengan kuasa tambahan PS5 Pro, permainan yang telah dikemas kini boleh menyasarkan 4K penuh dengan 60 fps – menjadikan visual lebih tajam dan permainan kekal lancar.

    Namun begitu, dua mod ini masih dikekalkan, malah diberi nama seperti ‘Pro Performance’ dan ‘Pro Resolution’. Malah, sesetengah permainan seperti EA Sports F1 24 menyokong hingga 8K atau 120 fps – walaupun saya tidak dapat mengujinya kerana kekangan peralatan (TV dan peranti tangkapan saya hanya menyokong sehingga 4K 60fps).

    Kebanyakan pemain juga mungkin belum mempunyai TV 8K.

    Dalam Horizon Zero Dawn Remastered, perbezaan jelas dapat dilihat pada ketumpatan tumbuhan dan tekstur persekitaran dalam mod Pro. Kedua-dua mod Pro kelihatan hampir serupa, tetapi dalam gerakan perlahan, mod Pro Performance jauh lebih lancar tanpa kehilangan perincian grafik.

    Dalam Spider-Man 2, mod Fidelity Pro menampilkan bayang-bayang NPC yang lebih jelas dan suasana bandar yang lebih meriah, dengan lebih banyak kenderaan dan orang awam.

    Pergerakan Spidey juga terasa lebih realistik dengan kadar bingkai yang tinggi.

    Ratchet and Clank: Rift Apart pula menunjukkan peningkatan ketara dalam kebersihan imej dan ketumpatan tekstur, terutama pada watak seperti Rivet dan Ratchet. Dalam adegan jarak jauh, perincian kekal tajam dan lebih banyak elemen seperti konfeti dan penonton ditampilkan.

    EA Sports F1 24 juga menunjukkan perbezaan ketara – tekstur litar perlumbaan jauh lebih tajam dan latar belakang kelihatan lebih fokus dalam mod Kualiti di PS5 Pro.

    Namun begitu, bukan semua permainan PS5 akan terus memanfaatkan kuasa Pro.

    Permainan perlu dikemas kini oleh pembangun agar dapat mengambil kelebihan penuh keupayaan baharu ini. Contohnya, Final Fantasy 7 Rebirth memerlukan tampalan grafik baharu yang belum tersedia ketika saya menjalankan ulasan ini. Menurut Sony, sekitar 50 permainan akan dikemas kini untuk menyokong PS5 Pro pada pelancarannya.

    Saya secara peribadi berharap Final Fantasy 16 dan Ghost of Tsushima turut menerima kemas kini ini, kerana saya belum sempat menghabiskan DLC mereka – dan ini boleh menjadi alasan terbaik untuk kembali bermain.

    Meskipun tiada tajuk eksklusif baharu yang dilancarkan bersama PS5 Pro, ada satu ciri tambahan menarik: Enhance Image Quality for PS4 Games, yang boleh diaktifkan menerusi tetapan Screen and Video. Walaupun tidak semua permainan PS4 disokong, saya melihat peningkatan grafik dalam permainan Spider-Man (2018) ketika diuji. Ia adalah satu bonus besar untuk pemain yang masih memiliki senarai permainan PS4.

    BERBALOI ATAU TIDAK?

    Dengan harga jualan AS$700 (dan tambahan AS$30 untuk tapak serta AS$80 untuk pemacu cakera), PS5 Pro adalah konsol paling mahal pernah dikeluarkan – namun saya tidak menganggapnya terlalu mahal.

    Saranan saya bergantung kepada sama ada awda sudah memiliki PS5 atau belum. PS5 biasa tanpa pemacu cakera berharga sekitar AS$450. Tambahan storan 1TB mungkin menelan belanja AS$100. Maka, awda perlu nilai sama ada peningkatan grafik PS5 Pro berbaloi dengan tambahan AS$150.

    Ketika jualan seperti Black Friday, PS5 asas mungkin ditawarkan pada harga diskaun, tetapi tidak bagi model Pro. Bagi saya, pelaburan ini berbaloi, kerana ia menjamin konsol awda akan menyokong permainan PlayStation untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun akan datang. Walaupun PS6 mungkin diperkenalkan dalam tempoh empat tahun, pangkalan pengguna PS5 terlalu besar untuk Sony ketepikan – buktinya, Call of Duty: Black Ops 6 masih dilancarkan untuk PS4 baru-baru ini.

    Namun, jika awda sudah memiliki PS5, saya tidak fikir awda perlu tergesa-gesa menaik taraf. Sepanjang menyusun ulasan ini, saya juga terkejut melihat sejauh mana PS5 biasa masih mampu bersaing dalam banyak aspek. Tetapi jika awda dapat tawaran tukar beli yang baik atau ini adalah PS5 pertama awda, maka PS5 Pro pastinya berbaloi dimiliki. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda