Monday, December 16, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSB, BCFA adakan lawatan kerja ke China

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Rombongan Pusat Sejarah Brunei (PSB) dan Persatuan Persahabatan Brunei-China (BCFA), hari ini, selamat bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei menuju ke Republik Rakyat China bagi mengadakan lawatan kerja selama 10 hari.

    Rombongan diketuai oleh Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dan Presiden BCFA, Dr Awang Mohammad Firdaus bin Abdul Rahman.

    Lawatan kerja tersebut merupakan undangan daripada South China Normal University (SCNU) untuk menyertai forum bertemakan People To People Exchanges and Cooperation: Expanding and Deepening.

    Dalam forum itu nanti, Dr Haji Muhammad Hadi akan membentangkan Hubungan Brunei-China: Ristaan Silam untuk Masa Depan pada 15 dan 16 November.

    Perwakilan dari Negara Brunei Darussalam juga akan membentangkan maklumat mengenai persejarahan hubungan Brunei-China sempena 40 tahun hubungan diplomasi antara kedua-dua buah negara.

    Di samping menyertai forum berkenaan, Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam juga mengundang rombongan lawatan untuk mengadakan lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Beijing, Nanjing dan Guangzhou.

    Lawatan tersebut bermatlamat untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama dua hala rakyat dengan rakyat dalam bidang perdagangan, ekonomi, pendidikan, penyelidikan dan sosiobudaya bahkan juga dalam industri pelancongan.

    Menerusi lawatan itu juga, ia akan dapat membuka jalan kepada agensi-agensi berkenaan di kedua-dua buah negara untuk meningkatkan industri pelancongan berkonsepkan Islam antara kedua-dua buah negara.

    Rombongan PSB dan BCFA bergambar ramai sebelum berlepas ke Republik Rakyat China. – GAMBAR SERAHAN PSB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda