Thursday, January 30, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSB lancar 4 terbitan baharu di Pesta Buku Brunei

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Sempena Pesta Buku Brunei yang sedang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Pusat Sejarah Brunei (PSB) telah melancarkan empat buah terbitan terbaharu di reruai PSB, Dewan Perpaduan, ICC, baru-baru ini.

    Hadir bagi menyempurnakan pelancaran buku-buku berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad sejurus berlangsungnya perasmian acara pesta buku tersebut.

    Buku yang dilancarkan berjudul Sejarah Perkembangan Perusahaan Perikanan di Negara Brunei Darussalam; Jurnal Darussalam Bilangan 22; majalah Pusaka Bilangan 54; dan majalah Wahana Sejarah Bilangan 1.

    Mengulas mengenai buku-buku baharu berkenaan, Pengarang Kanan PSB, Dayang Siti Nadhrah binti Norzelan ketika ditemui Media Permata, berkata bahawa buku Sejarah Perkembangan Perusahaan Perikanan di Negara Brunei Darussalam merupakan hasil kajian Pengiran Khairul Rijal bin Pengiran Haji Abdul Rahim.

    Ia adalah mengenai perusahaan perikanan di Negara Brunei Darussalam bermula dari zaman Pentadbiran Tradisi (1800–1905), diikuti zaman Pentadbiran Residen British I (1906–1941), zaman Pendudukan Jepun dan Pentadbiran Residen British II (1949–1959), zaman Brunei Berkerajaan Sendiri (1959–1983), dan diakhiri zaman Brunei Mencapai Kemerdekaan (1984–2008).

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi hadir bagi menyempurnakan pelancaran empat terbitan baharu PSB sejurus perasmian Pesta Buku Brunei 2023, baru-baru ini. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Orang ramai yang meluangkan masa berkunjung di reruai Pusat Sejarah Brunei semasa Pesta Buku Brunei. – Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Bagi Jurnal Darussalam Bilangan 22, beliau berkata, keluaran kali ini memuatkan enam artikel, antaranya Institusi Pendidikan Balai di Negara Brunei Darussalam (1852–1956): Penelitian dari Sudut Sejarah dan Melayu Islam Beraja; Melayu Islam Beraja: Satu Tinjauan Ringkas Kesan Perubahan kepada Tradisi Puak Dusun di Brunei; Revisiting Brunei–Britain Relationship: Is Brunei a British Colony?; dan Brunei sebagai Sebuah Negara Kebajikan Semasa Pemerintahan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien III: Satu Tinjauan Ringkas.

    Sebagai bahan terbitan bersifat in-house, bagi keluaran tahun ini, pengisian majalah Pusaka Bilangan 54 memuatkan penulisan sejarah bersumberkan bahan kajian dan hasil penyelidikan serta dokumentasi yang diungkayahkan oleh pegawai dan kakitangan PSB.

    Ini antaranya Liau Badar Pahlawan Saba-Pancir daripada Kesultanan Melaka: Nostalgia Kematian yang Masih Tersirat; Rumah Melayu Kampong Ayer; Sejarah Awal Gelaran Orang Kaya dalam Masyarakat Kedayan; dan Sejarah Cop Mohor Sultan-sultan Brunei: Satu Tinjauan Ringkas.

    Dayang Siti Nadhrah seterusnya mengongsikan, majalah Wahana Sejarah Bilangan 1 mempersembahkan gaya penyampaian yang mudah, ringkas dan padat mengenai sejarah tempat, kampung, sekolah, legenda dan sebagainya. Ia sesuai dijadikan bahan bacaan pembaca sasaran yang terdiri daripada murid-murid sekolah dan menengah bawah.

    Tajuk-tajuk menarik yang dimuatkan bagi keluaran sulung itu antaranya Catatan Antonio Pigafetta mengenai Brunei pada Tahun 1521 dalam Buku Tarsilah Brunei: Zaman Kegemilangan dan Kemasyhuran; Sekolah Rendah Sungai Liang, Tulisan Jawi dan Perkembangannya; dan Kampung Sungai Akar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda