Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    PSB lancar Buku Tarsilah Brunei Jilid IV

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKTBuku Tarsilah Brunei : Peralihan ke arah Brunei Moden (Tahun 1828-1924 Masihi) Jilid IV iaitu jilid terakhir hasil penulisan Allahyarham Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar, mantan Pengetua Pusat Sejarah Brunei (PSB), telah dilancarkan hari ini.

    Majlis berlangsung di Dewan Jawatan Dalam PSB telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Terdahulu Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dalam ucapan alu-aluan menjelaskan, dengan penerbitan buku ini, ia tidak bermakna berakhirnya penulisan mengenai sejarah kesultanan Brunei tetapi sebaliknya usaha tetap akan diteruskan dalam penyelidikan, pendokumentasian dan penerbitan sejarah kesultanan Brunei.

    Buku jilid IV adalah jilid terakhir dan melambangkan kecemerlangan sejarah kesultanan Brunei dan PSB dalam mencapai matlamat penubuhannya pada tahun 1982.

    “Keseluruhan penyelidikan, pengumpulan, penulisan dan penerbitan sejarah kesultanan Brunei yang berusia 650 tahun sejak zaman Awang Alak Bertatar telah lengkap diusahakan oleh PSB dalam tempoh 41 tahun,” kata beliau.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa melancarkan buku Tarsilah Brunei: Peralihan ke arah Brunei Moden (Tahun 1828-1924 Masihi) Jilid IV, kelmarin. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Tetamu kehormat menyampaikan buku ihsan kepada ahli keluarga Allahyarham Pehin pada majlis tersebut. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Buku ini secara ringkas meriwayatkan sejarah kesultanan Brunei dari tahun 1982-1924 Masihi bermula dari sultan Brunei ke-23 hingga ke sultan ke-26 iaitu Sultan ‘Omar ‘Ali Saifuddin II, Sultan Abdul Momin, Sultan Hashim Jalilul ‘Alam Aqamaddin dan Sultan Muhammad Jamalul ‘Alam II.

    “Ia merangkumi sejarah kenaikan takhta seseorang sultan, cabaran dan juga rintangan yang dihadapi sepanjang tempoh pemerintahannya,” tambahnya.

    “PSB amat mengalu-alukan usaha apa juga karya dalam bentuk persejarahan Brunei untuk diterbitkan, lebih-lebih lagi untuk memenuhi keperluan rakyat dan penduduk di negara ini bagi mengetahui dan mempelajari sejarah bangsa dan negara.

    “Ini kerana sejarah itu perlu disebarluaskan terutama generasi muda dan belia, supaya ia dapat dijadikan pengajaran, rujukan dan tamsilan dalam kehidupan kerana sejarah bukan hanya berperanan sebagai suluh kehidupan tapi ia adalah guru kehidupan sepanjang zaman,” jelasnya.

    Majlis turut diserikan dengan penyampaian buku ihsan oleh tetamu kehormat kepada penerima dan penyampaian resensi buku yang disampaikan oleh Profesor Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...