Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Sebagai usaha berterusan untuk memasyarakatkan sejarah bangsa dan negara kepada semua lapisan masyarakat di negara ini, Pusat Sejarah Brunei (PSB) meneruskan Program Kembara Sejarah yang dilaksanakan di Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Kampung Madang, baru-baru ini.
Program itu telah dihadiri oleh guru-guru serta murid-murid sekolah berkenaan serta jemputan khas iaitu Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri. Program turut dihadiri wakil Pengetua PSB iaitu Pegawai Sejarah, Hajah Siti Aisah binti Pungut serta beberapa pegawai dan kakitangan dari pusat berkenaan.
Dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Hajah Siti Aisah mengongsi antara matlamat utama program berkenaan ialah untuk mendukung dasar dan tujuan penubuhan PSB dalam memperkenalkan dan mendedahkan kemasyhuran sejarah Brunei kepada masyarakat umum.
Selain itu, tambahnya, program berkenaan diharapkan akan dapat menambah ilmu pengetahuan kepada guru-guru, penuntut dan murid sekolah serta mahasiswa dalam mengenali sejarah Brunei.
Daripada aspek pendidikan, program itu merupakan salah satu nilai tambah dalam mata pelajaran dalam pembelajaran, Social Studies yang diajarkan di sekolah rendah dan menengah kerajaan dan swasta.
Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar STJ PGGMB Madang, Cikgu Haji Roslan bin Haji Md Hassan mengalu-alukan kerjasama berterusan dari PSB serta mengharapkan program berkenaan dapat menambah minat pelajar terhadap sejarah Brunei.
Beliau turut menyatakan program berkenaan pada kali ini juga adalah bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-41.
Lain-lain aktiviti dalam program berkenaan termasuk pameran dan jualan buku-buku sejarah, kuiz, demonstrasi tekapan batu nisan dan seni khat tulisan jawi serta salasilah.