PARIS, 27 Feb – Paris Saint-Germain meneruskan bidaan mereka bagi merebut gelaran Piala Perancis lima kali berturut-turut ketika Angel Di Maria menjaringkan dua gol dalam kemenangan selesa suku akhir 3-0 ke atas Dijon di Parc des Princes awal pagi tadi.
Sepakan minit kelapan Di Maria memastikan pasukan itu di depan, sebelum menambah gol keduanya sebelum setengah jam perlawanan, dengan Thomas Meunier menyudahkan gol ketiga.
Pasukan kendalian Thomas Tuchel masih dalam laluan bagi tiga kejuaraan, memandangkan mereka juga mendahului persaingan Ligue 1 dengan 17 mata dengan mempunyai kelebihan satu perlawanan di tangan dan akan membawa kelebihan 2-0 ke atas Manchester United pada perlawanan kedua bagi persaingan pusingan 16 Liga Juara-Juara minggu depan.
Ketua jurulatih PSG, Tuchel, memandangkan Neymar dan Edinson Cavani masih lagi mengalami kecederaan menjelang pertemuan menentang Man United, memutuskan untuk meletakkan Kylian Mbappe di bangku simpanan semasa menentang Dijon, yang berada di atas zon penyingkiran Ligue 1.
Jurulatih dari Jerman itu memberikan pujiannya kepada pemain yang ditandatangani pada Januari lalu, Leandro Paredes, atas persembahan hebat di separuh masa pertama.
“(Parades) bermain dengan baik pada separuh masa pertama, sama seperti pemain lain,” kata Tuchel. “Dia adalah seorang pemain yang boleh membuat hantaran tepat. Ia adalah peranannya untuk menetapkan kepantasan permainan dan mempercepatkan permainan hantaran.”
Tuan rumah bermula dengan pantas, dengan bekas pemain penyerang Stoke City, Eric Maxim Choupo-Moting dinafikan gol keduanya bagi kelab itu oleh penjaga gol Dijon, Runar Alex Runarsson. – AFP
